PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, pihaknya tidak mengambil tindakan berhubung komen media sosial atas inisiatif sendiri, sebaliknya hanya memulakan siasatan selepas menerima aduan rasmi.
Perkara ini dijelaskan susulan tindakan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan pengawal selia Internet itu, dan polis terhadap komen media sosial mengenai pemilihan PKR baru-baru ini.
Menurut Rafizi, beberapa pengguna media sosial dikenakan pelbagai tindakan oleh SKMM termasuk disiasat serta telefon pintar dan kad SIM mereka dirampas.
Menjawab perkara itu, Timbalan Pengarah Urusan SKMM Zurkarnain Mohd Yasin berkata, suruhanjaya itu mengambil tindakan berpandukan undang-undang dan rangka kerja kawal selia sedia ada, justeru siasatan tidak boleh dimulakan sewenang-wenangnya.
“Setiap tindakan yang diambil oleh SKMM mestilah berpandukan kepada maklumat yang telah disahkan dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ini bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan secara adil, telus dan dalam ruang lingkup mandat yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya kepada FMT.
Sumber: FMT
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.