Usaha untuk memartabatkan seni, budaya dan bahasa tempatan di sokong teguh

 

Joniston Bangkuai Menyampaikan Hadiah Keseluruhan kepada Lyron Felix 

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan kepada usaha-usaha murni dalam memartabatkan seni, budaya dan bahasa tempatan, termasuk melalui penganjuran program seperti Anugerah Lagu SABAHVfm.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, inisiatif sebegini mampu mencungkil lebih banyak bakat baharu dan memastikan industri muzik etnik Sabah terus berkembang maju.


Beliau menyatakan perkara itu ketika merasmikan Anugerah Lagu SABAHVfm 2025 di sini, kelmarin. Ucapan beliau telah disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.


Menurut Hajiji, kerajaan negeri komited bekerjasama bersama RTM Sabah serta agensi berkaitan bagi melaksanakan lebih banyak program seumpama ini pada masa akan datang.


“Kita akan terus menyediakan sokongan sewajarnya supaya industri seni dan budaya Sabah dapat terus berkembang dengan pesat,” katanya.


Hajiji turut menegaskan bahawa Anugerah Lagu SABAHVfm seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melihat perkembangan berterusan dalam industri muzik tempatan.


Katanya lagi, program ini mencerminkan usaha berterusan RTM Sabah untuk mendekati masyarakat, di samping menggalakkan penghasilan karya seni baharu yang berkualiti.


“Anugerah Lagu SABAHVfm ini sangat bermakna kerana ia menyediakan ruang kepada lagu-lagu etnik Sabah untuk dipersembahkan, bukan sahaja di peringkat negeri, malah di pentas antarabangsa melalui platform seperti Aplikasi RTM Klik serta laman Facebook RTM Sabah dan SABAHVfm.


"Langkah proaktif ini wajar dijadikan contoh kerana membuka peluang kepada para penggiat seni, khususnya pencipta lagu etnik, untuk menyerlahkan bakat serta karya mereka.


“Kerajaan Negeri juga amat menyokong dan menggalakkan para penggiat seni tempatan untuk terus menghasilkan lagu-lagu baharu dalam bahasa etnik Sabah.


“Lagu dan muzik etnik ini bukan sekadar alunan melodi dan lirik, tetapi turut mencerminkan sejarah serta warisan budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya.


Dalam hal ini, Hajiji menggesa masyarakat, khususnya generasi muda, agar terus memberi sokongan terhadap lagu dan muzik etnik Sabah bagi memastikan khazanah seni warisan ini terus dipelihara dan dimartabatkan.


“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua finalis yang berjaya ke peringkat akhir. Kehadiran anda semua adalah tanda komitmen serta kecintaan terhadap muzik etnik Sabah. Semoga program ini terus menjadi pemangkin kepada kemajuan industri muzik etnik negeri kita,” katanya.

Post a Comment

0 Comments