Pembangunan modal insan agenda utama kerajaan Sabah



KERAJAAN negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor layak diberi jolokan sebagai ‘Kerajaan Pembangunan Modal Insan’ kerana banyak bantuan yang disalurkan untuk pendidikan anak Sabah.

Selama empat tahun kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus mentadbir, anak Sabah terus diberikan keutamaan dengan pelbagai bantuan dan inisiatif pendidikan yang diperkenalkan.

 
NIZAM, RINA

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri menerusi inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) komited memperkasa modal insan menerusi pendidikan.

Katanya, banyak bantuan dan inisiatif yang diberikan sama ada menerusi kerajaan negeri mahupun agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan anak Sabah mendapat pendidikan yang sempurna.

“Tahun lalu kerajaan negeri menambah peruntukan biasiswa daripada RM55 juta kepada RM101 juta dengan jumlah tajaan yang aktif pada tahun ini seramai 7,275 pelajar di dalam dan luar negara.

“Penambahan peruntukan itu membolehkan lebih ramai anak Sabah yang kurang berkemampuan berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada 2 Jun tahun lalu untuk mengumpul dana pendidikan.

“Ia bagi membolehkan lebih banyak peluang tajaan dapat disalurkan kepada anak-anak Sabah yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Saya percaya kerajaan negeri akan terus memperkasa TPNS bagi membantu pelajar-pelajar yang menghadapi masalah tajaan pendidikan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan bajet yang besar iaitu sebanyak RM474.55 juta untuk meningkatkan tahap pendidikan di Sabah tahun ini.

Katanya, peruntukan itu untuk memperkukuhkan pembangunan modal insan seperti pemberian biasiswa dan dermasiswa, pembangunan serta operasi sekolah termasuklah perpustakaan.

“Selain itu, inisiatif ini bagi memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada pendidikan, termasuklah memperkasa ekosistem sains, teknologi dan inovasi.

“Justeru, inilah bukti kerajaan negeri prihatin akan kebajikan anak Sabah dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk meningkatkan tahap pendidikan negeri ini,” katanya.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, secara keseluruhannya pencapaian kerajaan negeri hari ini jauh lebih baik kerana selain dapat meningkatkan ekonomi, ia turut menyelesaikan masalah yang diwarisi.

“Banyak masalah termasuk infrastruktur yang diwarisi daripada kerajaan sebelum ini cuba ditangani dengan sebaiknya dan ada sudah dapat diselesaikan.

“Kita dapat lihat ketelusan, keikhlasan dan hala tuju Ketua Menteri sangat jelas dalam membantu seluruh rakyat di negeri ini tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan ideologi politik,” katanya.

Sementara itu, Nizam berkeyakinan kerajaan GRS-PH Plus mampu mengekalkan prestasinya dan diberikan peluang sekali lagi oleh rakyat untuk mentadbir Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, selama empat tahun kerajaan GRS-PH Plus mentadbir terlalu banyak perubahan yang rakyat rasai dan negeri ini juga sudah mampu bersaing dengan negeri lain dari segi ekonomi.

“Kita sudah mula mendapat hak-hak yang sepatutnya dengan pertambahan peruntukan untuk Sabah, selain berjaya menarik lebih ramai pelabur asing ke Sabah ketika ini.

“Saya percaya Sabah akan terus maju dan disegani pada masa akan datang sekiranya kerajaan GRS-PH Plus terus diberi mandat mentadbir negeri ini,” katanya.

ADUN Kukusan, Rina Haji Jainal pula berkata, selama empat tahun pentadbiran GRS-PH Plus ini banyak perubahan positif yang dirasai oleh rakyat.

Katanya, banyak inisiatif diperkenalkan oleh ketua Menteri yang tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini khususnya memenuhi keperluan rakyat.

“Kita dapat lihat langkah-langkah kerajaan negeri hari ini dengan berteraskan hala tuju SMJ sememangnya jelas dan dapat dinikmati oleh rakyat keseluruhannya.

“Keprihatinan kerajaan terhadap modal insan umpamanya mencerminkan bahawa pentadbiran negeri hari ini mahukan anak Sabah terus cemerlang dan mampu memimpin pada masa akan datang,” katanya.

Rina berkata, melalui hala tuju SMJ, kerajaan negeri meletakkan pembangunan modal insan sebagai antara teras utama dengan pelbagai inisiatif pendidikan diberikan.

“Kerajaan negeri telah memperkenalkan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara one off (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI) dan banyak lagi.

“Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan Felo SMJ bagi membantu graduan mendapatkan pekerjaan sama ada dalam sektor kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kita dapat lihat inisiatif kerajaan negeri ini sangat bermanfaat kepada graduan dan dapat mengelak anak Sabah tercicir mendapat peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah berkata, prestasi cemerlang kerajaan GRS-PH Plus ketika ini menjadikan hidup rakyat semakin selesa dan berpeluang menjana ekonomi.

Katanya, prestasi itulah yang menjadikan kerajaan GRS-PH Plus pilihan rakyat tidak kira agama dan kaum di negeri ini.

“Kerajaan GRS-PH Plus juga dilihat semakin terbuka untuk menerima pendapat dan pandangan daripada rakyat demi pembangunan negeri Sabah.

“Saya percaya kerajaan GRS-PH Plus akan diberikan mandat kali kedua oleh rakyat pada PRN akan datang dan majoriti kemenangan juga akan melonjak naik,” katanya.

ISMAIL, KHAIRUL


Bagi Teknologis Profesional, Ts. Ismail Awang pula berkata, prestasi kerajaan GRS-PH Plus yang diketuai Ketua Menteri selama empat tahun ini adalah progresif dan sangat mendekati rakyat.

Katanya, Ia dapat dibuktikan dengan segala usaha kerajaan dalam pembangunan infrastruktur dan utiliti, selain komitmen membasmi kemiskinan dan melaksanakan program kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

“Sebagai contoh di Tawau sendiri, perlaksanaan pembinaan empangan air cinta mata sedang giat dijalankan sebagai penyelesaian masalah air yang meruncing di Tawau.

“Selain itu, projek pembesaran Jalan Utara juga antara usaha kerajaan Sabah yang mendengar rintihan rakyat bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Keperluan pembesaran Jalan Utara itu sebenarnya telah lama diperlukan sejak kerajaan-kerajaan terdahulu lagi, namun semasa kerajaan GRS-PH Plus kini ia baru dapat dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, projek-projek pembangunan infrastruktur ini tidaklah dapat disiapkan dengan sekelip mata kerana ia memerlukan sedikit masa beberapa tahun untuk disiapkan.

“Kita perlu bersabar sedikit dan beri peluang kepada kerajaan sedia ada mentadbir dan menyiapkan kesemua projek pembangunan yang sedang berjalan,” katanya.

Ismail berkata, Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) juga salah satu program bantuan rakyat yang sangat prihatin bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan membina kediaman di tanah sendiri.

Katanya, baru-baru ini, Ketua Menteri mengumumkan penambahan kuota pembinaan Rumah Mesra SMJ di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 20 kepada 40 buah rumah.

“Selain itu, pelbagai bentuk inisiatif pendidikan diberikan kepada modal insan di negeri ini yang meliputi sekolah rendah sehingga peringkat menara gading.

“Dengan program berteraskan infrastruktur, pembangunan modal insan, bantuan kebajikan dan keperluan rakyat, saya berpandangan kerajaan negeri telah menunjukkan prestasi sangat cemerlang,” katanya.

Beliau berkata, dengan prestasi kerajaan yang sangat mendekati rakyat, kerajaan GRS-PH Plus yang ada sekarang akan diberikan semula mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan pada PRN17.

Menurutnya, kerjasama GRS-PH Plus yang erat, ikhlas dan harmoni, ia merupakan satu gabungan yang boleh dipercayai dan diyakini rakyat.

“Faktor calon juga perlu dititik beratkan dimana GRS-PH Plus juga perlu lebih banyak mengetengahkan calon pemimpin muda bagi memenuhi keperluan golongan itu yang semakin ramai.

“Bagi pemimpin lama yang sudah menunjukkan penurunan prestasi, mereka perlu direhatkan dan sama-sama membantu serta menyokong calon pemimpin muda,” katanya.

Sementara itu, bagi Ahli Dewan Belia Sabah (ADBS) Apas, Khairul Anwar Junus berpandangan, prestasi kerajaan Sabah ketika ini sangat positif terutamanya kepada belia di negeri ini.

Katanya, pelbagai bantuan pendidikan yang telah diwujudkan dan diperkasakan oleh kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri bermula dari sekolah sehingga ke universiti.

“Selain bantuan BUDI dan BAKTI, kerajaan turut memberikan insentif kepada kepada anak-anak Sabah yang mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa.

“Komputer riba turut diberikan kepada anak-anak Sabah di IPTA mahupun di IPTS yang ibu bapanya terdiri dari golongan B40 dan e-kasih,” katanya.

Menurutnya, komitmen tinggi Ketua Menteri dalam membantu belia di Sabah turut terserlah dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM100.17 juta untuk perbelanjaan mengurus, pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah.

Katanya, sebanyak RM16.89 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan yang menjurus kepada pemerkasaan belia bagi mencapai kesejahteraan sosioekonomi sejajar dengan Dasar Belia Sabah (DBS).

“Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) turut diberikan bagi membantu belia memulihkan perniagaan yang terkesan serta bantuan memulakan perniagaan.

“Saya percaya akan banyak lagi program yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Ketua Menteri untuk belia pada masa akan datang,” katanya.

Khairul percaya GRS-PH Plus mampu mendapat mandat rakyat Sabah pada PRN17 berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri hari ini.

Namun, semua komponen GRS perlu mendapat kata sepakat dalam menentukan calon-calon yang bertanding pada PRN akan datang.

“Saya percaya rundingan bersama-sama semua parti dalam GRS akan dilakukan secara inklusif dan menyeluruh dengan mempertimbangkan pengagihan kerusi calon setiap komponen parti.

“Rundingan secara menyeluruh ini sudah tentu akan memastikan semua parti komponen dapat memberikan semangat juang yang tinggi dalam menghadapi PRN akan datang,” katanya.


Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment

0 Comments