TAWAU: Budaya berkunjung sempena Hari Raya Aidilfitri yang diamalkan pelbagai kaum sejak sekian lama mencerminkan Sabah contoh kepada konsep Malaysia MADANI di negara ini.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah, berkata, budaya meraikan perayaan oleh pelbagai kaum sudah sangat sinonim dengan rakyat di negeri ini.
Katanya, ia menunjukkan konsep diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat bertepatan untuk terus diamalkan di seluruh negara.
Menurutnya, sebagai contoh di Tawau pelbagai lapisan masyarakat tidak ketinggalan berkunjung ke rumah sanak saudara untuk meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Ini secara tidak langsung menunjukkan kepelbagaian masyarakat, budaya serta agama ini perlu dikekalkan pada masa hadapan.
“Kita semua maklum, baru-baru ini masyarakat di Sabah meraikan perayaan Tahun Baharu Cina. Masyarakat pelbagai kaum juga turut hadir bersama-sama untuk meraikannya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan DESA berkata demikian ketika hadir dalam program bersama penduduk Kampung Kijang Merotai, di sini semalam.
Liew berkata, ini jelas menunjukkan tradisi ini merupakan satu kombinasi yang sempurna sebagai langkah mempromosikan kebudayaan negeri Sabah yang begitu unik selaras dengan konsep Malaysia MADANI.
“Apa yang penting, perpaduan kalangan kaum dibawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor terus terbina dan diamalkan.
“Ini membawa makna besar kepada negeri Sabah dalam menuju ke arah penyatuan semua masyarakat berbilang kaum serta etnik besar di negeri ini,” katanya.
Sumber: Utusan Borneo
0 Comments