PSB bubar sebelum Tahun Baharu Cina, 80,000 ahli sertai PDP

 

SIBU: Parti Sarawak Bersatu (PSB) dijangka dibubarkan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan selepas parti tersebut mendapat “lampu hijau” untuk kira-kira 80,000 ahlinya menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) secara serentak.

Timbalan Presiden I PSB Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, perkara tersebut dimaklumkan kepadanya oleh Presiden PSB Wong Soon Koh semalam dan mereka akan merujuk tentang prosedur pembubaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Beliau berkata, proses seterusnya diikuti mesyuarat agung luar biasa (EGM) oleh PSB mengenai pembubaran, dan PDP untuk menerima kemasukan bekas ahli-ahli parti tersebut.

“Kami rancang untuk bubar PSB, iaitu kami akan berada bawah payung besar PDP dan sudah tentunya akan jadi sebahagian daripada GPS (Gabungan Parti Sarawak),” katanya kepada media pada majlis sambutan Pra-Krismas dan Tahun Baharu 2024 PDP malam tadi.

Dalam PRN Sarawak pada 2021, PSB bertanding sebagai parti pembangkang dan hanya mampu memang empat daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, termasuk Wong di Bawang Assan; Dr Rayong (Engkili) dan Baru Bian (Ba Kelalan).

See Chee How yang menang kerusi DUN Batu Lintang pada PRN tersebut kemudian keluar daripada PSB pada Ogos tahun lepas, menjadi Adun bebas.

Pada 13 Julai lepas, PDP diwakili presidennya, Tiong King Sing, dan Wong mewakili PSB telah menandatangani satu memorandum persefahaman bagi menjalin kerjasama untuk melihat kemakmuran dan kestabilan politik dalam negara.

Selain PDP, GPS yang merupakan gabungan parti tempatan Sarawak turut dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Dr Rayong berkata, langkah menyertai PDP adalah tanpa syarat dengan hasrat untuk sama-sama memainkan peranan membangun dan memajukan Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Kami lupakan latar belakang politik dan ideologi. Kami bergabung dalam satu parti dan menyokong kepimpinan Premier (Sarawak Abang Johari Openg) dan seterusnya menyokong kepimpinan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) pada peringkat persekutuan,” tambahnya.


Post a Comment

0 Comments