TAWAU: Seorang wanita melalui detik cemas apabila mulutnya ditekup oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menceroboh masuk ke bilik sewanya ketika dia sedang tidur di sebuah rumah sewa di bandar ini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin memaklumkan, lelaki berusia 20 tahun itu dipercayai menyelinap masuk ke bilik mangsa dan cuba melakukan samun dengan menekup mulut wanita berkenaan.
“Mangsa yang terkejut terus menjerit sekuat hati dan menepis tangan suspek sebelum berjaya menolak pintu, menyebabkan suspek tercampak keluar dari bilik.
“Bagaimanapun, suspek masih berada di luar rumah tanpa beredar, menyebabkan mangsa dan penghuni lain ketakutan dan bersembunyi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Jasmin, tiada barang berharga dilaporkan hilang dalam kejadian tersebut, manakala tindakan pantas mangsa berjaya menggagalkan cubaan samun itu.
Bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan anggota Strike Team dari Balai Polis Tawau berjaya menahan suspek di kawasan tempat letak kereta sebuah inap desa kira-kira jam 10.15 malam Khamis.
“Polis turut merampas sebuah topi, beg silang dan sepasang selipar yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian.
“Siasatan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah Jasmin, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh bangunan.
Dalam operasi sama, seorang lagi lelaki tempatan berusia 25 tahun turut ditahan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berhampiran.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek kedua positif dadah jenis methamphetamine dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas beliau.
Sumber: Utusan Borneo
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.