SABAH IC, KENAPA IA PENTING BUAT SABAH DAN RAKYATNYA?



Sebelum kita mengulas lebih lanjut berkenaan Sabah IC, mari kita kupas serba sedikit tentang sejarahnya dan siapakah yang telah mencadangkan pengujudan Sabah IC ini?

Melalui penelitian Aki di internet, Sabah IC ini telah diperkenalkan oleh Parti SAPP sebelum PRU-13 dan semakin berkembang semasa Gabungan Sabah diperkenalkan. 

Sabah IC ini telah diperkenalkan oleh Parti Maju Sabah (SAPP) sebelum pilihanraya umum 2013 dan telah menajadi salah satu perkara dalam Manifesto SAPP ketika itu. Seterusnya selepas PRU-13, agenda Sabah IC ini terus dipromosikan kerana ianya dilihat sebagai salah satu mekanisma yang bakal menyelesaikan pelbagai masalah di Sabah terutamanya isu berkenaan Warganegara Palsu di Sabah. 

Sepanjang masa tersebut, gerakan mempomosi Sabah IC ini mendapat dokongan daripada parti-parti tempatan lain seperti STAR, Harapan Rakyat dan kini oleh Kerajaan GRS.


Isu warganegara palsu ini bukan isu baharu, malah telah menjadi ancaman kepada  dasar keselamatan dan hak-hak peribumi serta rakyat asal Sabah yang semakin terhakis. Warganegara asli Sabah juga terpaksa bersaing dengan Pendatang asing dalam sektor pekerjaan kerana Pendatang-pendatang asing ini senang dimanipulasi oleh syarikat-syarikat besar berkenaan gaji dan sebagainya.


Selain isu tersebut, kita juga melihat bahawa kerajaan Sabah telah menjalankan pendataan secara sistematik untuk mengenalpasti Warga asing ini namun kita alpa bahawa kita tidak ada satu sistem Pendataan khas untuk Warganegara Malaysia Asal Sabah yang dikawal selia oleh kerajaan Sabah sendiri dengan sebuah polisi yang holistik menggabungkan pihak kerajaan dan pembangkang atau pihak-pihak berkaitan yang difikirkan sesuai untuk mengendalikan serta memantau mekanisma pendataan tersebut. 


Selain itu, dengan ikhlas dan hormat selaku rakyat Sabah, kita juga mempunyai asas untuk merasa bimbang terhadap pelbagai kemungkinan ancaman yang tidak mustahil boleh berlaku sekiranya terdapat konspirasi untuk menghantar pelarian-pelarian seperti Rohingnya ke Sabah dengan memberikan mereka Kad Pengenalan Malaysia dengan Kod Sabah. Pangkalan data bagi Jabatan Pendaftaran Negara adalah dikawal oleh JPN yang berpusat di semenanjung Malaysia, manakala Kerajaan Sabah tidak mempunyai sistem saringan atau pemantauan bagi menapis kemasukan orang asing sebagai rakyat tulen Sabah sekiranya terdapat konspirasi untuk mengubah demografi kependudukan di Sabah. Sudah tentu jika berlaku hal sedemikian, pihak imigresen di lapangan terbang mahupun di pelabuhan tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya individu yang diperiksa ternyata berdaftar di dalam database JPN sebagai Warganegara Malaysia asal Sabah (memegang kad pengenalan Sabah).


Kita bukan membuat tuduhan atau sangkaan tidak baik terhadap sistem yang sedia ada, tetapi ini lebih kepada kita menilai kelemahan sistem yang sepatutnya boleh dibawa ke meja perbincangan dan mencari jalan penyelesaian terbaik supaya kita boleh terus maju sebagai Sebuah Wilayah dan Negara dengan sistem yang diyakini menuju ke arus perdana.


Sudah tentu apabila warga celup masuk ke Sabah sebagai orang tulin Sabah, mereka akan menikmati kelebihan bawaan Kad pengenalan mereka dan orang Asal Sabah tentunya terpaksa bersaing dengan mereka. Bukan saja terpaksa bersaing untuk merebut pekerjaan, malah mereka juga terpaksa bersaing tentang tanah, lesen berniaga, biasiswa pendidikan dan sebagainya. Selain itu, masalah sosio ekonomi juga akan menjadi cabaran di masa hadapan sekiranya ia tidak ditangani dengan sebaik-baiknya.


Terdapat pelbagai cara untuk membawa kemasukan warga asing atau warganegara bukan Sabahan ini ke Sabah untuk jangka panjang, Contohnya mereka boleh dihantar ke Ladang-ladang sawit di seluruh Sabah atau ke lokasi projek-projek mega yang mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan. Dengan jangkamasa sepanjang itu, orang-orang asing ini akan berasimilasi dengan orang tempatan dan tidak menghairankan jika selepas 20 tahun, kehadiran mereka di Sabah tidak akan dipersoalkan lagi.


Maka dengan itu, Sabah IC dilihat sebagai sebuah jalan penyelesaian terhadap risiko dan masalah-masalah yang disebutkan di atas dan seharusnya disokong oleh segenap lapisan masyarakat serta pemimpin Sabah.


Jika Sarawak juga menyedari hakikat ini, sudah tentu mereka sedikit sebanyak akan melihat kebaikannya sekiranya kedua-dua wilayah ini mempunyai sistem pendataan untuk Rakyatnya sendiri agar kerajaan mempunyai mekanisma yang ampuh untuk mengawalselia kemasukan warga asing ataupun warganegara bukan Sabahan di wilayahnya dan menghentikan andaian-andaian terhadap Putrajaya dan sebaliknya.

Katakunci disini adalah "selain pendataan warga asing, pendataan bagi penduduk asal di peringkat Wilayah juga tidak boleh diabaikan".

~Aki


Post a Comment

0 Comments