Rakyat disaran ambil dos penggalak Covid-19

 

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan rakyat Malaysia mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 susulan perkembangan wabak itu yang kembali mengganas di China.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah sebagai langkah siapsiaga awal susulan perkembangan kes Covid-19 di negara terbabit.

"Melihat kepada perkembangan terkini di negara China, KKM ingin menyarankan kepada semua untuk mendapatkan dos vaksin penggalak terutamanya barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi.

"Walaupun kes dalam negara (Malaysia) masih terkawal dan menurun, kita perlu mengambil tindakan bersiap siaga," katanya kepada BH, di sini.

Beberapa hari lalu, media melaporkan wilayah perindustrian Zhejiang berdepan sejuta jangkitan baharu Covid-19 setiap hari, malah jumlah itu dijangka meningkat sehingga dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China melaporkan, terdapat peningkatan kes di seluruh negara itu, tetapi tiada laporan kematian Covid-19 di tanah besar sejak lima hari lalu.

Sementara itu, angka kematian terbaru akibat Covid-19 di Beijing menunjukkan peningkatan susulan ramai rakyatnya demam, malah upacara pengebumian meningkat selepas negara itu melonggarkan sekatan.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dilaporkan berkata lima kematian baru direkodkan, semuanya di Beijing, sekali gus meningkatkan jumlah kematian kepada 5,242 mangsa, yang agak rendah berdasarkan piawaian global tetapi berpotensi meningkat selepas dasar 'Sifar Covid-19' dilonggarkan.

Sementara itu, laman web KKMNOW, sebanyak 12,920 kes aktif Covid-19 direkodkan hingga semalam.

Sebanyak empat kematian direkodkan semalam menjadikan angka keseluruhan yang maut akibat Covid-19 ialah 36,845 orang.

Sumber: Metro

Post a Comment

0 Comments