PETALING JAYA: Walaupun hasrat menjadi calon pilihan raya umum (PRU15) tidak kesampaian, seorang pesara yang mengalami separuh buta tetap akan memperjuangkan nasib golongan kurang upaya.
Habib Bourgiba Abdul Hamid, 53, yang berhasrat untuk bertanding sebagai calon bebas bagi Titiwangsa, Kuala Lumpur namun tidak menjadi kenyataan selepas lewat memasuki pusat penamaan calon.
Berikutan itu, permohonan untuk menjadi calon ditolak pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Habib berkata, dia menghormati keputusan itu namun kecewa kerana SPR tidak menggunakan budi bicaranya untuk membenarkannya mendaftar memandangkan sudah berada di pusat tersebut.
“Tidak ramai wakil orang kurang upaya (di Parlimen), sebab itu saya berharap untuk bertanding. Isu yang saya ingin fokuskan ialah (nasib) anak yatim dan orang kurang upaya,” katanya kepada FMT.
Habib berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi ahli politik dan Ahli Parlimen untuk “bercakap tapi tiada tindakan”, sambil menambah, wakil rakyat perlu mengetepikan kepentingan diri demi rakyat.
Katanya, dia berdepan “halangan” untuk sampai ke pusat penamaan calon di SMK Aminuddin Baki, yang menyebabkan dia kelewatan.
Polis kini sedang menyiasat bagi untuk menentukan kesahihan dakwaan Habib.
Pilihan raya umum akan menampilkan calon yang menghidap spinal bifida, Dr Noraishah Mydin, bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya bagi Pakatan Harapan (PH) menentang lima calon lain.
Sumber: FMT
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.