Tujuh pejabat kawasan UPPM terima kenderaan fasa pertama

 

UPPM: Hajiji (enam dari kanan) bersama Safar dan Matbali bergambar bersama PPM kawasan selepas penyerahan kenderaan berkenaan.


KOTA KINABALU: Sebanyak tujuh pejabat kawasan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Jabatan Ketua Menteri (JKM) menerima kenderaan jenis pacuan empat roda.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyerahkan kesemua kenderaan berkenaan di lobi utama Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri menyerahkan replika kunci kereta kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Kiulu, Tambunan, Sindumin, Lumadan, Nabawan, dan Labuk.

Pengarah UPPM Negeri Sabah Datuk Matbali Musah dalam taklimatnya kepada Hajiji berkata, penyerahan tujuh kenderaan pacuan empat roda itu adalah bagi fasa pertama.

Katanya, tahun ini UPPM dijangka menyerahkan sebanyak 40 kenderaan untuk kegunaan pejabat kawasan UPPM manakala, baki 33 kenderaan lagi akan diserahkan pada tahun hadapan.

“Kereta ini adalah untuk kegunaan PPM dan kakitangan pejabat kawasan UPPM yang sering turun padang meninjau kawasan kampung.

"Ia juga digunakan untuk melawat rakyat yang menghadapi masalah dalam kawasan DUN masing-masing, termasuk masalah banjir," katanya. 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam dan Pegawai Tadbir UPPM Musliati Moslimin. 

sumber: Utusan Borneo Online

Post a Comment

0 Comments