PETALING JAYA: Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited memperuntukkan RM43 bilion bagi tujuan menaik taraf infrastruktur grid nasional, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, usaha naik taraf itu akan melibatkan integrasi kecerdasan buatan (AI) dan sistem penyimpanan tenaga bateri bagi memastikan ketahanan serta fleksibiliti sistem tenaga negara pada masa hadapan.
“Kita perlu melabur untuk meningkatkan kecekapan serta mengurangkan pelepasan dalam sistem tenaga sedia ada, meskipun cabaran besar masih wujud memandangkan bahan api fosil menyumbang hampir 80% daripada bekalan tenaga global.
“Paling penting, proses peralihan ini mesti berlandaskan prinsip kesaksamaan,” katanya seperti dilaporkan Bernama ketika menyampaikan ucap tama di persidangan Energy Asia 2025.
Anwar turut mengingatkan bahawa langkah penyahkarbonan yang gagal mengambil kira keperluan golongan miskin dan rentan akan mengakibatkan ketidaksamaan sosial semakin melebar.
Mengulas mengenai rantau Asean, Anwar berkata, rantau ini telah menetapkan asas laluan pragmatik menerusi pelaksanaan Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) Asean, yang bertujuan menyelaras dasar serta memudahkan pergerakan modal dan karbon rentas sempadan.
“Malaysia turut memainkan peranan penting. Awal tahun ini, kita meluluskan Rang Undang-undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 yang menjadi asas kepada rangka kawal selia bagi sektor yang sedang berkembang pesat ini.
“Petronas pula menerajui usaha tersebut dengan perancangan membangunkan tiga hab CCS di perairan luar pantai negara, bukan hanya untuk sektor minyak dan gas, tetapi juga bagi industri lain yang sukar mengurangkan intensiti karbon mereka,” katanya.
Tambah Anwar, inisiatif CCS Malaysia turut membabitkan kerjasama lebih 10 rakan antarabangsa termasuk dari Jepun, Korea Selatan, serta syarikat tenaga global seperti Total dan Shell.
Sumber: FMT
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.