Tajuk: Kes Muhyiddin Berkait Jana Wibawa Dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, untuk memindahkan tujuh pertuduhan melibatkan salah guna kedudukan dan penerimaan wang hasil daripada aktiviti haram yang dihadapinya, daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Muhammad Jamil Hussin selepas mendengar hujahan daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin selaku pemohon, serta Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pihak pendakwaan selaku responden.

“Saya telah meneliti hujahan kedua-dua pihak dan mendapati pemohon memenuhi ambang kelayakan (threshold) untuk kes ini dipindahkan serta dibicarakan di Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah. Tiga persoalan undang-undang dijangka timbul yang luar biasa sukarnya.

“Walaupun saya yakin hakim Mahkamah Sesyen berkemampuan serta mempunyai kepakaran undang-undang, adalah lebih wajar tiga persoalan ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi,” kata Muhammad Jamil sambil menetapkan 14 Julai depan untuk pengurusan kes.

Terdahulu, peguam Hisyam berhujah bahawa permohonan pemindahan itu memenuhi ambang dan mempunyai merit, justeru mahkamah wajar menggunakan kuasa tambahan di bawah Seksyen 12 Jadual Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau berkata, afidavit sokongan serta beberapa persoalan kritikal undang-undang yang sukar dan di luar kebiasaan dijangka timbul dalam prosiding jenayah ini, dan demi keadilan, kes tersebut seharusnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Dalam pada itu, Wan Shaharuddin berhujah bahawa pihak responden tidak meragui kecekapan hakim Mahkamah Sesyen untuk mengendalikan kes tersebut, termasuk membicarakan isu undang-undang yang dibangkitkan pemohon.

Katanya, hakim Mahkamah Sesyen telah berkhidmat selama lebih 13 tahun di mahkamah berkenaan dengan hampir 30 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam.

“Fakta bahawa pemohon ialah seorang bekas Perdana Menteri tidak wajar dijadikan alasan untuk beliau memilih mahkamah mana yang perlu mendengar kesnya,” katanya yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.

Muhyiddin, ketika menjawat jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat — Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, serta individu Azman Yusoff bagi pihak parti itu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut menghadapi tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu.

Pertuduhan itu melibatkan transaksi di beberapa lokasi berasingan, iaitu di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 7 Januari 2022 dan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral antara 25 Februari hingga 16 Julai 2021 serta 8 Februari hingga 8 Julai 2022.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Wan Shaharuddin memaklumkan pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah pada hari ini.


Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments