‘Saya ada pilihan kekal tapi tetap letak jawatan’, kata Nik Nazmi

 



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau ada pilihan untuk kekal dalam Kabinet namun pendiriannya tetap meletak jawatan menteri sumber asli dan kelestarian alam.
Nik Nazmi berkata, keputusan itu dibuat bersandarkan perkiraan lebih besar iaitu mandat parti, merujuk kegagalannya mempertahankan kerusi naib presiden PKR pada pemilihan bulan lalu.

Katanya, bukan mudah meninggalkan kementerian diterajuinya lebih dua tahun itu yang agensi serta kakitangannya dianggap ‘pasukan impian’.

“Tetapi keputusan saya buat ini adalah untuk perkiraan yang lebih besar. Mandat parti adalah penting untuk reformasi luas.

“Memang saya ada pilihan untuk kekal, tapi pilihan saya adalah untuk letak jawatan,” katanya di Facebook.

Dalam hantarannya itu, Nik Nazmi berkata Pengerusi Malaysia Green Technology and Climate Change Centre Shareen Abdul Ghani bertanya sama ada peluang untuk mereka meyakinkannya mengubah keputusan meletak jawatan.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau memberi ruang kepada Nik Nazmi untuk memikirkan semula perkara itu kerana dia masih dalam tempoh bercuti.

“Saya selalu tunggu, bagi peluang, (minta Nik Nazmi) berfikir, renung (kembali keputusannya) dan saya bagi pandangan saya, kalau boleh teruskan khidmat.

“Tapi ada masa lagi, dia masih dalam tempoh bercuti. Kita beri ruang, buat apa nak suruh terima (perletakan jawatan) kalau dia masih cuti, tarikhnya belum sampai,” katanya yang juga presiden PKR.

Bulan lalu, Nik Nazmi bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menghantar surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka pada pemilihan PKR.


Menerusi surat dihantar kepada Anwar, peletakan jawatan Rafizi berkuat kuasa hari ini, manakala Nik Nazmi pada 4 Julai.

Rafizi kalah kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan timbalan presiden PKR.

Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments