PETALING JAYA: Seorang jurutera awam kanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas 14 pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM100,000 berkaitan tuntutan bayaran projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Gua Musang.

Tertuduh, Mohd Azly Abdul Aziz, 44, yang bertugas sebagai jurutera awam kanan di Jabatan Kerja Raya, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), didakwa menerima suapan antara RM5,000 hingga RM10,000 daripada seorang kontraktor berusia 70 tahun. Wang itu diterima melalui pemindahan dalam talian ke akaun bank tertuduh.

Suapan tersebut didakwa sebagai ganjaran bagi mengesyorkan perakuan tuntutan bayaran interim projek LTU Pakej 3 Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang.

Semua kesalahan tersebut didakwa berlaku di sebuah bank di cawangan Jalan Maju di sini, dalam tempoh 22 Disember 2022 hingga 31 Oktober 2023.

Mohd Azly didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam Azeezi Nordin.

Dalam prosiding tersebut, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan. Namun, peguam Azeezi merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM8,000, dengan alasan anak guamnya kini menanggung isteri serta empat anak, selain bekerja sebagai penjual sabun dan pemandu e-hailing.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Dazuki Ali membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan tarikh 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.


Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments