Hadi jalani prosedur rawatan esok

 

PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dijadualkan menjalani satu prosedur rawatan esok, menurut kenyataan anaknya, Khalil Abdul Hadi.

“Mewakili pihak keluarga, saya memohon semua untuk mendoakan kesihatan dan kesembuhan ayahanda tuan guru,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kesihatan Abdul Hadi dilaporkan merosot sejak beberapa tahun lalu, di mana Ahli Parlimen Marang itu yang sudah memegang jawatan selama tujuh penggal, turut menjalani rawatan dialisis dan beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Pada awal bulan ini, Sinar Harian melaporkan bahawa beliau ada memberikan bayangan kemungkinan untuk berundur daripada jawatan presiden PAS atas faktor kesihatan.

Difahamkan, hasrat tersebut telah dinyatakan kepada beberapa pemimpin kanan parti semasa sesi pemukiman yang diadakan di Terengganu, baru-baru ini.

Perkara itu seterusnya mencetuskan spekulasi berhubung kedudukan jawatan presiden dan timbalan presiden PAS menjelang pemilihan dalaman parti yang dijangka berlangsung pada September.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik, mendakwa terdapat beberapa desakan agar Abdul Hadi melepaskan jawatan tertinggi itu, walaupun perkara tersebut dinafikan oleh beberapa pimpinan peringkat negeri.


Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments