GRS-PH pada landasan tepat bentuk kerjasama pilihan raya, kata pemimpin kanan GRS-PH pada landasan tepat bentuk kerjasama pilihan raya, kata pemimpin kanan




KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) kini berada di landasan yang baik ke arah mencapai persefahaman bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang, menurut seorang pemimpin kanan GRS.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata antara faktor utama yang mendorong ke arah itu ialah kesediaan berterusan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk bekerjasama dengan PH menjelang PRN.

Katanya lagi, PH Sabah turut secara konsisten menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Hajiji selaku ketua menteri, lapor Jesselton Times.

Masiung memaklumkan bahawa keputusan berhubung kerjasama itu akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang akan diadakan nanti.

“Jika kerjasama ini dimuktamadkan, GRS dan PH akan menubuhkan jawatankuasa bersama di setiap daerah bagi memastikan calon yang kita tampilkan berjaya dalam PRN ke-17,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa GRS bersetuju dengan pendirian Barisan Nasional (BN) untuk tidak bekerjasama dalam PRN kali ini.

Terdahulu, bulan lalu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan bahawa BN dan PH mencapai persetujuan untuk bekerjasama menghadapi PRN selepas pertemuan antara Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Berikutan itu, Hajiji menyatakan kesediaan GRS untuk bertanding secara solo sekiranya kerjasama tersebut diteruskan, sementara Anwar pula menegaskan bahawa gabungan kerjasama antara BN, PH dan GRS adalah lebih diutamakan.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyatakan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan GRS buat masa ini, tetapi akan mempertimbangkan sebarang kerjasama selepas keputusan PRN nanti. 

Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments