20 ditahan, sisa elektronik hampir RM20 juta dirampas di Sarawak



KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak bersama beberapa agensi penguatkuasaan berjaya merampas bahan sisa elektronik bernilai hampir RM20 juta menerusi enam serbuan di bawah Operasi Bersepadu “Op Hazard 2.0 Sarawak”.


Timbalan Komander PGA Sarawak, Superintendan Rosdi Inai memaklumkan, seramai 20 individu ditahan dalam operasi yang dijalankan dari jam 10 pagi hingga 9 malam Isnin lalu, melibatkan 13 warga tempatan dan tujuh warga asing.


Menurutnya, tangkapan terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 24 hingga 58 tahun, manakala enam lelaki dan seorang wanita warga asing berumur antara 21 hingga 32 tahun.


“Kesemua enam serbuan dilakukan di beberapa lokasi yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemprosesan sisa elektronik tanpa lesen sah — dua di Kuching, masing-masing satu di Kota Samarahan dan Sibu, serta dua lagi di Bintulu,” katanya menerusi kenyataan.


Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi turut menemui pelbagai sisa elektronik belum diproses, barangan lusuh dan pelbagai peralatan dengan jumlah rampasan dianggarkan sebanyak RM19,638,213.45.


Rosdi berkata, siasatan mendapati sindiket ini menjalankan kegiatan membeli dan mengumpul sisa elektronik secara haram di sekitar kawasan terbabit sebelum dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk dileraikan bagi mendapatkan logam bernilai seperti emas, perak dan tembaga untuk dikitar semula.


“Difahamkan sindiket ini beroperasi di premis terpencil bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” tambahnya.


Katanya lagi, kesemua individu yang ditahan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Jabatan Imigresen, manakala barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Sarawak serta Jabatan Siasatan Jenayah D4 untuk tindakan lanjut.


Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments