2 Adun Sabah antara 3 yang akan didakwa di mahkamah - SPRM

 

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah adalah antara tiga individu yang bakal didakwa berhubung skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pertuduhan terhadap ketiga-tiga suspek itu dijadualkan bulan ini dan pihaknya kini sedang berurusan dengan Mahkamah Rasuah Sabah bagi menetapkan tarikh pendakwaan.


Menurutnya, SPRM kini dalam proses melakukan tangkapan dan memaklumkan tarikh kehadiran mereka ke mahkamah.


“Saya ingin jelaskan bahawa dua daripada suspek merupakan Adun manakala seorang lagi orang awam. Proses tangkapan dan pemakluman kehadiran ke mahkamah sedang dijalankan.


“Saya tidak dapat mendedahkan tarikhnya selagi proses ini belum selesai, namun saya yakin pendakwaan akan dibuat dalam bulan ini,” katanya sebagaimana dipetik Sinar Harian di Kota Kinabalu.


Mengulas mengenai ketulenan sebuah video yang didakwa melibatkan beberapa Adun dalam skandal tersebut, Azam menjelaskan bahawa siasatan tidak hanya bersandarkan kepada rakaman video semata-mata.


“Perkara itu saya tidak boleh ulas secara terperinci kerana ia boleh menjadi subjudis. Apa yang pasti, semua bukti akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk dinilai dan diputuskan sama ada perlu dibawa ke mahkamah atau tidak.


“Namun begitu, kami tidak hanya bergantung kepada bukti video tersebut, sama ada tulen atau tidak, sebaliknya turut mempertimbangkan bukti-bukti lain yang relevan,” katanya.


Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments