KENINGAU: Rumah terbuka Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Taman Bandukan Riverside Resort, dekat sini meriah yang dihadiri masyarakat daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, sambutan kali ini dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung yang mulai membanjiri resort itu, memenuhi ruang di khemah terbuka dan sekitarnya pada majlis rumah terbuka itu pada Hari Raya pertama.
Acara dijadualkan bermula pada jam 11 pagi, namun orang ramai mulai datang lebih awal bagi mengambil peluang untuk bertemu secara bersemuka dengan tuan rumah yang menanti pengunjung di pintu masuk utama majlis rumah terbuka itu.
Sambutan semakin meriah apabila orang ramai tiba selepas waktu yang dijadualkan tanpa henti dan Robert serta keluarga teruja menyambut tetamu dan rombongan yang tiba ke majlis rumah terbukanya.
Beberapa pengunjung yang ditemui menyatakan begitu teruja untuk datang ke majlis rumah terbuka Robert yang diadakan di Taman Bandukan Riverside Resort bagi bertemu dengan pemimpin mereka dalam suasana santai ditambah dengan 'mood' raya.
Pengunjung yang datang daripada jauh juga begitu teruja kerana bukan sahaja berpeluang disambut mesra oleh wakil rakyat tetapi juga gembira dapat menjejakkan kaki ke pusat peranginan di situ lebih-lebih lagi setelah dihiasi dengan dekorasi raya yang menaikkan lagi seri suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Selain dekorasi menarik dan menawan, pengunjung juga amat gembira kerana berpeluang menikmati aneka juadah raya dan kuih muih serta manisan yang dihidangkan pada majlis rumah terbuka Robert.
Majlis terus bertambah meriah apabila rakan kabinet bertandang ke majlis rumah terbuka Timbalan Presiden STAR itu yang dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Menteri Belia, Datuk Ellron Alfred Angin; Timbalan Presiden STAR, Datuk Kenny Chua serta Setiausaha Agung STAR, Senator Datuk Edward Linggu dan lain-lain.
Rakan-rakan politik dan pemimpin daripada parti lain yang turut hadir sama dalam majlis rumah terbuka itu secara tidak langsung menyerikan lagi sambutan berkenaan tanpa mengira fahaman bagi bersama-sama merayakan perayaan itu.
Turut kelihatan pada majlis rumah terbuka Robert ialah Ketua Polis Daerah Keningau Superitendan Polis (SUP) Yampil Anak Garai dan Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Johari Sabin.
Robert ketika ditemui berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum, kepercayaan dan latar belakang ke majlis rumah terbuka itu jelas mencerminkan keutuhan kemakmuran dan pada masa sama membuktikan kehidupan masyarakat Sabah yang begitu harmoni.
Katanya, selain untuk menyambut Hari Raya penganjuran rumah terbuka beliau adalah manifestasi terhadap usaha-usaha memupuk perpaduan bagi memelihara ikatan silaturahim diantara masyarakat setempat dan sekitar kearah kesepakatan dan kemakmuran.
"Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih atas kehadiran semua masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan ke majlis ini dan semoga pertemuan ini akan mengukuhkan lagi ukhuwah dan silaturahim kita.
"Inilah masa kita semua dapat bersama-sama tanpa mengira apa fahaman politik dan juga anutan agama dan suku bangsa bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan demi satu matlamat iaitu untuk memupuk perpaduan di Sabah amnya, " katanya.
Sumber: Utusan Borneo
0 Comments