KOTA KINABALU: Beberapa pemimpin komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencadangkan pembaharuan untuk memperkukuh tadbir urus melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.
Timbalan Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Kiulu, Datuk George Teo mencadangkan kerajaan memperkenalkan had derma dan melarang pembiayaan tanpa nama bagi memastikan akauntabiliti yang lebih besar.
Selain itu, beliau menggesa kerajaan untuk melibatkan orang ramai dan masyarakat sivil dalam pembaharuan kewangan politik, menjadikan proses itu lebih telus dan inklusif.
Sementara itu, Presiden LDP Datuk Chin Su Phin berkata, kekurangan undang-undang pendanaan politik Malaysia menimbulkan situasi tidak jelas mengenai apa yang membentuk pembiayaan politik yang sah.
"Ketiadaan peraturan yang jelas ini membolehkan perniagaan mengeksploitasi kelemahan untuk keuntungan kewangan.
“Kontroversi berkaitan lesen bagi industri perlombongan mineral di Sabah menunjukkan keperluan mendesak untuk perundangan sedemikian,” katanya.
Beliau merujuk laporan sebuah portal berita mengenai dakwaan ahli perniagaan yang mengaitkan beberapa ahli politik Sabah terbabit menerima wang.
Dalam pada itu, peguam merangkap Ketua Penerangan Parti Star, Annuar Ghani, berkata pendedahan mengenai sesuatu rakaman video mengenai pemberian wang kepada seseorang termasuk ahli politik tidak secara automatik menjadi bukti kesalahan yang melanggar undang-undang.
“Ini disebabkan ketiadaan Akta Pembiayaan Politik, maka tiada peraturan jelas yang menentukan kewangan politik yang sah.
"Di mahkamah, pihak pendakwaan mesti membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa penerima derma berada dalam kedudukan untuk memberikan bantuan atau faedah kepada penderma untuk diklasifikasikan sebagai rasuah," katanya.
Beliau berkata kelemahan ini menunjukkan keperluan untuk perundangan pembiayaan politik yang komprehensif.
Annuar turut memuji Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas tindakan tegasnya membatalkan semua permohonan berkaitan perlombongan mineral, demi untuk melindungi sumber asli Sabah.
“Walaupun pentadbiran GRS-PH kekal mesra pelabur, tiada seorang pun yang tidak mempunyai pengalaman dalam perlombongan untuk dibenarkan memonopoli industri perlombongan di negeri ini,” katanya.
Sumber: Utusan Borneo
0 Comments