Hajiji |
KOTA KINABALU: Yayasan Sabah (YS) yang ditubuhkan pada tahun 1966, telah memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan rakyat negeri ini, terutamanya dalam bidang pendidikan, sosial dan ekonomi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, dalam aspek pendidikan, YS merupakan penggerak perintis pembangunan pendidikan bermula dari peringkat pendidikan prasekolah hingga ke institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, ini dapat dilihat dengan peningkatan dana pendidikan sebanyak 86.38 peratus kepada RM67.17 juta pada 2024, berbanding RM36.04 juta pada 2021, yang membolehkan seramai 3,234 orang pelajar mendapat manfaat daripada biasiswa dan pinjaman pendidikan YS.
“Tabung Pendidikan Negeri Sabah yang diperkenalkan pada 2022, telah memberi manfaat kepada 7,957 orang pelajar dengan perbelanjaan sebanyak RM7.07 juta," katanya pada Malam Anugerah Kumpulan Yayasan Sabah di sini pada Jumaat.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M.Yahya.
Menurutnya, secara keseluruhan YS turut berbakti mempertingkatkan taraf dan kualiti kehidupan rakyat melalui program-program kemasyarakatan, dengan peruntukkan sebanyak RM75.88 juta telah dibelanjakan untuk program sosial pada 2024, meningkat sebanyak 86.57 peratus berbanding RM40.67 juta pada 2021.
Beliau mahu kutipan bayaran balik pinjaman terus dipergiatkan, berikutan jumlah kutipan meningkat ke RM6.6 juta pada 2024, berbanding purata kutipan bagi tiga tahun sebelum ini berjumlah RM5.4 juta, bagi memastikan lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang melanjutkan pelajaran mereka.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YS mahu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) terus melipatgandakan usaha dalam menawarkan pelbagai kursus yang bersesuaian dengan keperluan guna tenaga di negeri ini.
“Sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, UCSF telah memberikan manfaat kepada lebih 3,000 anak-anak Sabah, manakala KTYS menunjukkan peningkatan dalam kemasukan dan komitmen terhadap pendidikan berkualiti di Sabah.
"Kerajaan negeri akan terus menyokong kepada kedua-dua institusi pendidikan ini demi masa depan anak-anak negeri ini”, katanya.
Menyentuh prestasi komersial, Hajiji berkata, Kumpulan Innoprise Corporaton Sdn Bhd (ICSB) telah berjaya mencatat prestasi cemerlang yang menyumbang kepada peningkatan pembayaran dividen kepada YS selama tiga tahun berturut-turut, iaitu sebanyak RM87.87 juta pada 2021 dan kekal pada tahap yang tinggi dengan jumlah RM146.52 juta pada 2024.
Katanya, ICSB telah mengisytiharkan pembayaran dividen kepada YS dan kerajaan negeri sebanyak RM150 juta, merupakan antara GLC kerajaan negeri yang mengisytiharkan dividen tertinggi untuk empat tahun berturut-turut.
Hajiji berkata, disebalik cabaran yang dihadapi, Kumpulan ICSB berjaya mencatatkan peningkatan keuntungan kumpulan sebanyak RM102 juta, meningkat sebanyak 22 peratus kepada RM562 juta pada 2024, berbanding RM460 juta pada 2023.
“ICSB sebagai syarikat pula mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM158 juta bagi 2024, iaitu RM4.1 juta lebih tinggi daripada 2023.
"Saya berharap usaha dipergiatkan untuk memastikan anak-anak syarikat terus berdaya saing bagi meningkatkan keuntungan dan seterusnya menggandakan pembayaran dividen," katanya.
Beliau juga mahu YS berani untuk melakukan transformasi menyeluruh ke atas program sosial dan komersial, serta melakukan perubahan yang mengutamakan kreativiti dan inovasi baharu, yang mampu mencapai matlamat dan harapan rakyat.
“Pelbagai program perlu terus dilaksanakan termasuk meneroka bidang baharu seperti kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui khususnya solar untuk keuntungan jangka panjang”, katanya.
Sumber: UtusanBorneo
0 Comments