Polis berkata, suspek ditahan bersembunyi di kawasan semak kilang tanpa pergelutan mahupun kecederaan terhadap suspek.
Polis menahan warga Filipina 43 tahun itu di kawasan semak dekat kilang terbiar di Kampung Kauran kira-kira 9 malam Rabu lalu. |
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang menetak jirannya hingga maut di Kampung Linkudau, Keningau, bulan lalu selepas dipercayai keluar dari lokasi persembunyiannya kerana lapar.
Warga Filipina 43 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau di kawasan semak dekat kilang terbiar di Kampung Kauran kira-kira 9 malam Rabu.
Ketua Polis Keningau, Yampil Anak Garai, berkata pihaknya menerima maklumat awam dan melancarkan operasi mengesannya 5 petang kelmarin.
Pasukan berjaya menangkap suspek yang bersembunyi di kawasan semak kilang itu tanpa pergelutan mahupun kecederaan terhadap suspek, katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, suspek mengaku menikam mangsa 58 tahun pada 19 Sept lalu atas alasan berang dengan lelaki itu membantu isterinya membuat laporan polis.
Suspek terus melarikan diri ke hutan di Jalan Tenom dan baru keluar pada 15 Okt lalu kerana kelaparan, katanya sambil menambah suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 20 Sept lalu, media melaporkan suspek bertengkar dengan isterinya yang kemudian dikatakan lari ke rumah mangsa sebelum dibawa ke Balai Polis Keningau untuk membuat laporan.
Susulan itu, suspek yang berang bertindak menetak tangan jirannya hingga maut akibat pendarahan teruk sambil disaksikan anak mangsa berusia tujuh tahun.
Sumber: FMT
0 Comments