Kanak-kanak jatuh sungai ditemukan lemas

 

LEMAS: Mangsa ditemukan lemas di sungai Kg. Lokub, Manggatal.

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang terjatuh ketika aktiviti mandi-manda di sungai Kampung Lokub, Manggatal, disahkan lemas.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, mangsa lemas pada jam 6.30 petang selepas operasi pencarian hampir enam jam, bermula 1.40 tengahari pada Khamis.

Katanya, sepasukan 25 anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi bagi menjalankan operasi membantu mencari mangsa.

"Sebaik tiba di lokasi, pihaknya terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat termasuk menggunakan Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA).

"Dalam tempoh lebih kurang 20 minit, pasukan penyelam memberi isyarat bahawa mangsa telah ditemukan, namun tidak dapat dikeluarkan kerana tersangkut dengan objek yang sangat kritikal di dalam sungai berkenaan," katanya.

Ordine berkata, mangsa ditemukan pada kedalaman kira-kira enam meter di dasar sungai yang penuh dengan sampah sarap.

Katanya, mangsa akhirnya berjaya dibawa naik ke darat pada jam 6.30 petang.

"Operasi berdepan kesukaran berikutan keadaan arus sungai yang deras, selain timbunan sampah sarap yang memenuhi dasar sungai.

"Secara keseluruhannya, operasi membabitkan seramai 60 anggota dan pegawai, manakala pencarian di dasar sungai pula membabitkan 10 anggota PPDA.

"Operasi pencarian pula dilakukan dalam radius 15 meter sehingga 18 meter dengan dibantu penduduk kampung dan mangsa berjaya ditemukan kira-kira 12 meter dari lokasi terjatuh," katanya.

Ordine berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.47 petang.


Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment

0 Comments