Beri kami kuasa penuh laksana projek air, menteri Sarawak gesa Putrajaya

 Peruntukan sahaja tidak cukup jika tiada kuasa untuk melaksanakan projek-projek tersebut, kata Julaihi Narawi.

Bekalan air bersih di kawasan luar bandar Sarawak kini pada tahap 70%, menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri Julaihi Narawi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang menteri Sarawak menggesa kerajaan persekutuan memberikan kuasa penuh kepada negeri Borneo itu untuk melaksanakan projek air bagi mengelakkan kelewatan dalam menyediakan prasarana tersebut.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Julaihi Narawi berkata, Putrajaya tahu Sarawak mampu melaksanakan projek-projek itu sendiri

“Kenapa tidak beri Sarawak kuasa untuk melaksanakan dan menyegerakan projek-projek ini? Luluskan belanjawan sahaja tak cukup jika tiada kuasa.

Beri kami kuasa penuh untuk laksanakan projek-projek sebegini. Biarlah agensi air kita, seperti jabatan bekalan air luar bandar, uruskan, katanya, lapor The Borneo Post.

Pada Julai, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 mendedahkan bahawa 36 projek air di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak tertangguh sehingga tujuh tahun walaupun telah mendapat kelulusan antara 2016 dan 2018.

Katanya, 12 projek di Sarawak, bernilai RM888.32 juta, bertujuan membekalkan air bersih kepada penduduk luar bandar tetapi telah tertangguh antara lima hingga tujuh tahun.

Julaihi juga berharap kerajaan persekutuan akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk menambah baik prasarana air dan elektrik Sarawak bawah Belanjawan 2025 yang akan diumumkan esok.

Katanya, bekalan air bersih di kawasan luar bandar Sarawak kini pada tahap 70%, dan lebih banyak loji rawatan air perlu dibina di seluruh negeri dan sistem saliran diperluas.

Post a Comment

0 Comments