Pemimpin Gagasan Rakyat main peranan sebagai kuasa besar


 TULID: Kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) peringkat bahagian diingatkan supaya memainkan peranan sebagai kuasa besar bagi memastikan kemenangan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Masiung Banah menegaskan, jawatan parti di peringkat bahagian bukanlah tiket untuk ahli parti dipilih sebagai calon dalam pilihan raya.

"Ahli Jawatankuasa Gagasan Rakyat di peringkat bahagian tidak boleh mengambil resolusi sendiri, biarlah pimpinan atasan GRS mengambil keputusan berhubung pemilihan calon.

"Kita boleh sahaja berbeza pandangan dengan parti gabungan, tapi jangan sampai timbul perpecahan yang akhirnya akan merugikan GRS," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Tulid di sini kelmarin.

Masiung berkata, hubungan kerjasama  parti-parti gabungan dalam GRS ada satu prinsip untuk saling menghormati dalam mengemudi kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berpesan supaya Ahli-ahli Jawatankuasa Gagasan Gagasan Rakyat di semua peringkat di negeri ini supaya bersiap siaga dalam mendepani pilihan raya pada bila-bila masa.

Katanya, setiap pemimpin sama ada pemuda, wanita atau beliawanis perlu mematuhi arahan Ahli Majlis Tertinggi Pusat tanpa sesuka hati membuat sebarang gerakan mengikut acuan sendiri.

Masiung turut merasmikan Auto Show Trusmadi yang diadakan di Padang Majlis Daerah Sook dan diiringi Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng serta Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tulid Jehan Osman.


Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment

0 Comments