SAPP terbuka kepada cadangan CM sebagai Premier



Kota Kinabalu, Khamis, 2 Mei 2024 - Datuk Yong Teck Lee dalam kenyataannya menyatakan Parti Maju Sabah (SAPP) terbuka terhadap cadangan dari pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), Liberal Democratic Party (LDP), dan Parti Gagasan Rakyat Sabah untuk menamakan semula gelaran Ketua Menteri (CM) kepada Premier.

Walaupun masih belum berbincang secara terperinci mengenai cadangan tersebut, SAPP menyatakan bahawa mereka terbuka kepadanya jika ia dibawa ke meja perbincangan dalam mesyuarat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan datang.

TYT Negara dan Timbalan Menteri

Menyokong usaha untuk memperkuat imej Sabah, SAPP telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Tertinggi GRS untuk meminda dua perkara dalam Perlembagaan Sabah bagi memperkukuhkan status Sabah serta kerajaan negeri.

Cadangan untuk mengembalikan gelaran rasmi Ketua Negara kepada "Tuan Yang Terutama Negara" mencerminkan status Sabah yang ditubuhkan pada 1963, bukannya gelaran semasa sekarang "Tuan Yang Terutama Negeri" dan menukar gelaran "Pembantu Menteri" kepada "Timbalan Menteri" adalah antara yang telah dibangkitkan oleh SAPP kepada Pengerusi GRS, yang juga Ketua Menteri, pada Februari 2024.

Menurut Yong, SAPP juga secara rasmi telah mengemukakan beberapa cadangan lain kepada pemimpin GRS, termasuk pembentukan Jawatankuasa Teknikal Pemulangan Labuan ke Sabah, bagi membolehkan kerajaan Sabah membuka jalan untuk membawa Labuan kembali ke bawah pentadbirannya.

"Jawatankuasa Reformasi Tanah juga dicadangkan untuk melindungi pemilikan tanah rakyat Sabah, terutamanya mereka yang mempunyai Tanah Adat Anak Negeri" ujarnya.

"Memandangkan kerajaan Sabah telah mencapai kemajuan yang ketara dalam menangani isu-isu air, elektrik dan infrastruktur jalan raya, SAPP kembali bersemangat untuk mencadangkan mengeluarkan Kad Pengenalan Sabah (IC Sabah) bagi mengukuhkan status rakyat Sabah tulen dan rakyat Malaysia yang layak menetap di Sabah. Negeri" akhiri beliau.

-Tamat

Post a Comment

0 Comments