Maijol dipilih sebagai Presiden Persatuan Badminton Sabah yang baru

 

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bandau, Datuk Maijol Mahap terpilih sebagai presiden baru Persatuan Badminton Sabah (SBA).

Maijol yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat menang tanpa bertanding apabila 14 daripada 18 persatuan daerah telah mencalonkan beliau dan 4 lagi berkecuali.


Beliau menzahirkan ucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh persatuan-persatuan badminton peringkat daerah ketika ditemui oleh wakil media kelmarin.

“Tumpuan kita adalah untuk menaikkan prestasi pemain di Sabah dan memenangi pertandingan di semua peringkat. Ini bukanlah mudah tetapi dengan kerjasama dan sokongan semua, saya yakin ia bukan sesuatu yang mustahil.

“Di samping itu, satu impian yang besar ialah untuk memiliki Bangunan SBA yang mempunyai fasiliti gelanggang, asrama dan pejabat,” ujarnya.

Ini bukannya kali pertama Maijol dipilih sebagai presiden SBA.

Beliau pernah menjawat jawatan ini pada tahun 2006 sehingga 2013.

Pelbagai kejayaan yang dicapai sepanjang tempoh Maijol menerajui SBA termasuk pengiktirafan sebagai Persatuan Sukan Sabah Terbaik Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2008  dan Pemimpin Sukan Terbaik Negeri Sabah tahun 2008, 2009 dan 2010.

Maijol juga telah dipilih oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi Pengurus Pasukan Malaysia bagi kejohanan bertaraf dunia seperti Commonwealth Games di New Delhi, Asian Games di Guangzhou, Sudirman Cup di Guangzhou, Junior World Cup di Auckland, dan Master Super Series di Korea, Denmark, Macau, dan Jepun. Selain itu, beberapa pemain Sabah diserapkan ke skuad kebangsaan.

 Selain daripada itu, beliau telah mencipta sejarah pada tahun 2008,  apabila Sabah telah menjadi tuan rumah dan penganjur kepada kejohanan badminton yang terbesar di dunia ketika itu iaitu World Super Series Master Final di bawah kelolaan Badminton World Federation (BWF) yang telah diadakan di Stadium Likas di mana Maijol merupakan Pengerusi Pelaksana kejohanan tersebut.

Post a Comment

0 Comments