KUALA LUMPUR: Umno menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengurangkan hukuman penjara dan denda bekas perdana menteri, Najib Razak.
“Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, Umno terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi Umno di ibu pejabatnya sebentar tadi.
Justeru, parti itu berkata, ia akan meneruskan usaha mendapatkan pembelaan buat bekas presidennya mengikut undang-undang negara, seperti diputuskan Perhimpunan Agungnya.
“Umno ingin menegaskan pembelaan terhadap Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.
“Sehubungan itu, Umno berharap atas prinsip keadilan, perdana menteri akan sama-sama menjunjung semangat ini.”
Semalam, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028, selepas hukuman penjara 12 tahunnya dipendekkan kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Pada 28 Julai 2020, Najib disabit oleh Mahkamah Tinggi kerana salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah dalam kes SRC International membabitkan dana RM42 juta.
Rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.
Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.
Sementara itu, Ahli MKT Umno, Lokman Noor Adam berkata, pihaknya akan mengumpul tandatangan untuk merayu sekali lagi supaya Najib diberikan pengampunan diraja dan dikenakan tahanan rumah.
Beliau berkata, pihaknya akan berusaha menemui ketua bahagian di seluruh negara bagi menjelaskan kedudukan sebenar dan meminta ahli Umno bertenang kerana usaha akan dilaksanakan secara berterusan.
“Kita minta semua rakyat Malaysia menghormati keputusan Agong sebelum ini dan Lembaga Pengampunan.”
Sumber: FMT
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.