KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan pihak defendan untuk membuat semakan undang-undang sebelum membangkitkan isu sama ada kes saman sivil anak-anak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud terhadap Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib boleh diklasifikasikan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew berkata, isu ini tidak dibangkitkan oleh pihak defendan dalam salah satu asas dalam kes tersebut, malah tidak dinyatakan dalam pembelaan difailkan oleh defendan.
Terdahulu semasa prosiding, peguam defendan yang mewakili Ragad, Alvin Yong mengemukakan satu isu penting dalam kes itu iaitu sama ada Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa ke atas perkara-perkara berkaitan hal-hal syariah.
“Berdasarkan fakta kami, saham dalam Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB) yang didaftarkan atas nama Allahyarhamah Laila Taib, telah didaftarkan semasa perkahwinannya dengan Tun Abdul Taib Mahmud. Akibatnya, saham tersebut diperolehi bersama harta/harta sepencarian.
“Ini akibatnya, adalah perkara yang termasuk dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah dan mahkamah ini tidak sepatutnya melayan tuntutan yang dibuat oleh plaintif (Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib dan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib).
“Tindakan plaintif, sewajarnya, boleh dibatalkan kerana mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa ke atas perkara itu,” kata Yong.
Mahkamah bagaimanapun beranggapan isu yang diutarakan defendan adalah berdasarkan keadaan dan perlu dibangkitkan terlebih dahulu, selain menegaskan bahawa isu ini sangat penting dan harus diteliti susulan ia menyentuh mengenai bidang kuasa.
“Peguam (diarahkan) untuk menyemak undang-undang kes sama ada bidang kuasa terletak pada Mahkamah Syariah dan bukan pada mahkamah ini (dan sama ada ia) boleh dibangkitkan dalam dua permohonan untuk membatalkan (kes) ini (terutamanya) apabila perkara ini tidak dinyatakan sebagai salah satu alasan mahupun dinyatakan dalam pembelaan yang difailkan oleh defendan. Perbicaraan diteruskan pada 14 Mac 2024,” ujar Alexander.
Selain itu juga, peguam Tan Kee Heng yang mewakili defendan kedua, RHB Investment Bank Berhad turut menyentuh mengenai plaintif tidak mempunyai locus standi diperlukan dalam kes ini berikutan terdapat beberapa fakta tidak dipertikaikan.
Sumber: UtusanBorneo
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.