KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, dan ahli keluarganya memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memohon relif tambahan, dalam permohonan semakan kehakiman terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas hal ehwal kewangan mereka.
Dalam permohonan yang difailkan dua hari lalu, keluarga itu meminta kebenaran untuk memasukkan perintah membatalkan pertuduhan jenayah oleh pendakwa raya awam termasuk Daim dan isterinya, Naimah Khalid.
Menurut mereka, relif tambahan itu jadi perlu susulan perkembangan baharu yang menyaksikan pasangan itu dituduh di mahkamah pada hujung bulan lepas.
Pada 23 Jan, Naimah dituduh bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM kerana gagal mengisytiharkan pemilikan dalam beberapa syarikat, beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dan dua kenderaan.
Enam hari kemudian, Daim dituduh bawah peruntukan sama, kerana gagal mengisytiharkan pemilikan dalam 38 syarikat; 19 bidang tanah di Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, dan Pahang; serta enam hartanah, tujuh kenderaan, dan dua akaun bank.
Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh didenda tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.
Pada 11 Jan, Daim dan ahli keluarga memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan siasatan SPRM.
Katanya, mereka tidak tahu tentang sifat siasatan itu, kecuali laporan berita mendakwa ia berkaitan Kertas Pandora.
Menurut mereka juga, siasatan SPRM ke atas dakwaan pengubahan wang dan salah guna kuasa itu tidak mengikut Perlembagaan.
Keluarga itu mendakwa siasatan bermula pada Februari 2023.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang mendengar permohonan itu pada 16 Jan lepas, menetapkan keputusan akan diberikan pada 4 Mac.
Pada pendengaran itu, peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan yang membantah permohonan itu berhujah Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa pelaksanaan kuasa oleh badan penyiasat tidak boleh disemak oleh mahkamah.
Peguam yang mewakili keluarga itu, Tommy Thomas, berhujah siasatan itu salah di sisi undang-undang kerana undang-undang yang digunakan untuk menyiasat anak guamnya, iaitu Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram, hanya berkuatkuasa selepas Daim tidak lagi memegang jawatan kerajaan.
Sumber: FMT
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.