Jemaah Menteri maklum tentang permohonan ampun Najib

 

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Jemaah Menteri dimaklumkan tentang permohonan untuk mengampunkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Jemaah Menteri dimaklumkan secara “sepintas lalu” tanpa huraian lanjut, dan hal pengampunan bukan bidang kuasa Jemaah Menteri.

“Kita bincang tapi kita faham ini di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan,” katanya pada sidang media di kementerian, petang tadi.

Saifuddin berkata beliau tidak dapat menjawab pertanyaan lanjut daripada media kerana hal pengampunan bukan bawah bidang kuasanya.

“Saya tak boleh cakap bagi pihak Lembaga Pengampunan,” katanya.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabit kesalahan oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu adalah hakim Mahkamah Tinggi, kerana salah guna kuasa, pengubahan wang, dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, sejurus Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

Pada April tahun lepas, Umno dilapor bersetuju untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan rayuan kepada baginda, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Ketua Penerangan Azalina Othman Said berkata pengampunan merupakan kuasa Agong dan atas budi bicaranya, maka tiada pihak boleh memaksa baginda untuk mengkaji isu itu, termasuk Umno.

Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments