Penerbit, penulis ‘Gay is OK’ mohon kebenaran rayu larangan di Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Penerbit dan penulis buku, “Gay is OK! A Christian Perspective” memohon kebenaran mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan perintah pengharaman buku itu berikutan keputusan Mahkamah Rayuan.

Perkara itu disahkan oleh peguam Edmund Bon Tai Soon, yang mewakili penerbit Gerakbudaya Chong Ton Sin dan penulis Ngeo Boon Lin.

Beliau berkata, 11 persoalan undang-undang dan perlembagaan telah difailkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi merit permohonan itu didengar.

“Permohonan kebenaran itu akan didengar pada 28 Feb tahun depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 25 Sept, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia untuk mengembalikan perintah pengharaman buku itu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Azizah Nawawi, M Gunalan dan Wong Kian Kheong dalam keputusan majoriti membenarkan rayuan menteri dalam negeri dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Azizah dan Wong dalam keputusan majoriti memihak kepada menteri dalam negeri dan kerajaan, manakala Gunalan sebaliknya.

Wong berkata, beliau dan Azizah meneliti kandungan buku serta tajuknya dan berdasarkan penilaian objektif, mereka berpuas hati bahawa keseluruhan kandungan buku itu dan tajuknya memberi mesej umum bahawa gaya hidup homoseksual tidak dilarang oleh agama Kristian.

Katanya, hakim yang memutuskan keputusan majoriti berpuas hati bahawa menteri yang munasabah akan mencapai keputusan kemungkinan buku itu menjejaskan ketenteraman awam, moral dan kepentingan awam.

Beliau berkata, walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku dalam tempoh lebih tujuh tahun dari September 2013, tarikh penerbitan buku itu, sehingga warta larangan itu, ini tidak menafikan wujudnya kemungkinan menjejaskan ketenteraman awam, moral dan kepentingan awam.

Wong berkata, bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, tidak perlu untuk memberi penerbit dan pengarang buku hak untuk didengari. Beliau juga berkata, Seksyen 7 akta itu juga tidak memerlukan menteri dalam negeri memberi alasan larangan itu. Dalam apa jua keadaan, tambahnya, menteri dalam negeri telah memberikan alasan dalam warta untuk mengharamkan buku itu.

Sementara itu, Gunalan yang membuat keputusan bertentangan berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin tidak tersilap apabila membenarkan semakan kehakiman responden.

Katanya, hakim telah memberikan pertimbangan yang secukupnya kepada fakta dan keadaan secara keseluruhan, serta menggunakan prinsip undang-undang dengan betul sebelum membenarkan semakan kehakiman.

Pada 22 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh kedua-dua mereka bagi membatalkan perintah larangan terhadap buku itu, yang diwartakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2020, mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menteri dalam negeri dan kerajaan kemudian memfailkan rayuan memohon untuk mengembalikan larangan itu.

Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments