KOTA KINABALU: Pertandingan Filem Pendek China-Sabah kali keenam kembali dengan tawaran hadiah wang tunai berjumlah RM55,000.
Orang ramai khususnya mereka yang memiliki bakat dalam bidang perfileman berpeluang untuk memenangi hadiah sempena pertandingan yang bakal tamat pada 30 November ini.
Pertandingan berkenaan dianjurkan oleh Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu dan Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) yang dibuka kepada orang ramai tidak mengira penerbit filem amatur atau profesional.
Kesemua peserta berpeluang menonjolkan bakat masing-masing menerusi persembahan cerita yang menarik mengenai kerjasama persahabatan di antara China dan Sabah.
Kandungan filem pendek ini tidak terhad hanya kepada usahasama China dan Sabah dalam pelbagai bidang, hubungan rapat di antara rakyat Sabah dengan China atau memelihara budaya Cina di Sabah.
Seperti tahun sebelum ini, pertandingan berkenaan dibahagikan kepada Kategori Filem Pendek dan Kategori TikTok.
Bagi Kategori Filem Pendek, video haruslah tidak melebihi durasi selama lima minit. Para peserta dikehendaki memuat naik filem pendek ke platform YouTube.
Setiap video hendaklah ditetapkan sebagai 'Tidak Tersenarai' (unlisted) sebelum mengisi serta menghantar borang penyertaan secara atas talian (imbas kod QR atau melayari laman web https://shorturl.at/kpTZ6) dengan pautan YouTube berkenaan.
Bagi Kategori TikTok, video haruslah tidak melebihi durasi selama dua minit dan setiap video perlu dimuat naik ke TikTok dengan tanda pagar #chinasabah2023.
Para peserta juga diminta mengisi serta menghantar borang penyertaan secara atas talian (imbas kod QR atau melayari laman web https://shorturl.at/kpTZ6) dengan pautan TikTok berkenaan.
Setiap peserta hanya boleh menghantar satu video sahaja untuk Kategori Filem Pendek, tetapi bagi Kategori TikTok peserta boleh menghantar sehingga tiga rakaman video. Para peserta juga dibenarkan untuk menyertai kedua-dua kategori berkenaan.
Tahun ini, bilangan hadiah bertambah dua kali ganda iaitu satu Anugerah Emas (RM3,000 tunai dan piala), lima Anugerah Perak (RM2,000 tunai serta piala) dan 10 Anugerah Gangsa (RM1,500 tunai dan piala) bagi Kategori Filem Pendek.
Bagi Kategori TikTok, satu Anugerah Emas (RM1,000 tunai dan piala), 10 Anugerah Perak (RM800 tunai serta piala) dan sebanyak 20 Anugerah Gangsa (RM500 tunai dan piala) akan dipilih.
Layari laman YouTube menerusi pautan https://youtube.com/@china-sabahshortfilmcompet3399 untuk menonton semua video pemenang yang lalu.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Facebook rasmi (facebook.com/chinasabah), atau hubungi Setiausaha Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) Teo Jinn Jiun 016-8254889 atau Bendahari KKJA Yvonne Ho 016-8111883.
Sumber: UtusanBorneo
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.