RM5.45 juta peruntukan sekolah, badan keagamaan bukan Islam Zon Tawau

 


TAWAU: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM5.45 juta untuk diagihkan kepada sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam di Zon Pantai Timur Tawau pada tahun ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, bantuan itu melibatkan penerima daripada daerah Lahad Datu, Tungku, Kunak, Semporna, Tawau dan Kalabakan.

Katanya, sebanyak 83 penerima daripada 110 kelulusan iaitu 43 buah sekolah dan 67 badan keagamaan telah diberikan surat sumbangan pada kali ini.

“Sumbangan ini sangat bermakna dan relevan memandangkan institusi pendidikan seperti sekolah penting bagi melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan.

“Manakala badan keagamaan pula memainkan peranan memupuk nilai-nilai murni dan toleransi dalam kalangan masyarakat di negeri ini yang teridiri pelbagai kaum, suku etnik serta agama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Kepada Sekolah dan Badan Bukan Keagamaan Zon Tawau, di sini, hari ini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, belanjawan tahun ini, kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM54.05 juta untuk sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah.

“Dengan peruntukan itu, sebanyak 1,810 kelulusan telah diberikan iaitu 346 untuk sekolah dan 1,464 pula diberikan kepada badan keagamaan.

“Bantuan kali ini telah meningkat sebanyak 294 kelulusan berbanding tahun lepas yang hanya membabitkan 1,516 sahaja,” katanya.


Menurutnya, kerajaan negeri menekankan dasar keadilan serta kesaksamaan dalam semua aspek bagi membantu rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama.


“Saya menyifatkan bantuan kewangan ini sebagai pelengkap bagi meringankan beban pihak sekolah dan badan keagamaan.

“Ia juga usaha untuk memperbaiki sekolah dan rumah ibadat supaya sentiasa dalam keadaan yang kondusif, selamat serta selesa digunakan,” katanya.

Nizam berkata, sekiranya kedudukan kewangan negeri bertambah baik, sudah pasti bantuan ini akan bertambah pada tahun hadapan.

“Semoga bantuan kewangan ini akan memberi manfaat serta memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat di Sabah.

“Saya juga memohon jasa baik sektor swasta, dewan perniagaan atau persatuan perdagangan supaya menyahut seruan kerajaan bagi mendukung institusi sekolah dan badan keagamaan di Sabah,” katanya.

Turut hadir, ADUN Balung Datuk Hamild Awang dan ADUN Kukusan merangkap Setiausaha Kepada Menteri Kewangan Sabah Rina Hj Jainal.

Post a Comment

0 Comments