Malaysia, AS rangka pelan kukuh kerjasama

 

SAN FRANCISCO: Sejajar usia Perkongsian Komprehensif Amerika Syarikat (AS)-Malaysia bakal mencecah sedekad pada 2024, kedua-dua negara kini merancang merangka pelan praktikal bagi memperkukuh lagi kerjasama itu, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Tahun depan genap 10 tahun sejak Malaysia dan AS meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif pada April 2014.

“Kita akan merangka pelan praktikal menjelang akhir tahun ini bagi mengenal pasti bagaimana perkongsian ini dapat diperkukuhkan lagi untuk manfaat rakyat kedua-dua negara dan rantau terbabit secara lebih meluas,” katanya dalam syarahan khas bertajuk “Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific” di University of California hari ini.

Berkongsi pandangan dengan 250 penuntut yang menghadiri sesi itu, beliau berkata, walaupun hubungan Malaysia-AS tidak mendapat perhatian seperti membabitkan China, Jepun atau Filipina, ia masih dianggap penting.

“Hubungan itu bukanlah satu pakatan mahu pun bersifat perbalahan dan ia dilihat seolah-olah ‘ditakdirkan’ untuk tidak menonjol atau jelas di mata ramai. Namun, berfikiran sedemikian sebaliknya boleh menjadi halangan kepada jalinan kerjasama serta sikap saling menghormati yang dibina kedua-dua negara.”

Menteri kewangan itu berkata, Malaysia menganggap hubungan strategik dengan AS sebagai penting untuk merancakkan lagi ekonomi serta kepentingan bagi keselamatan negara.

Malah, beliau menegaskan pendirian itu bersandarkan penilaian objektif, rasional serta kemungkinan penilaian utilitarian mengenai cara terbaik memenuhi keperluan Malaysia di pentas global.

“Biarlah fakta menjelaskannya – AS antara pelabur asing terbesar Malaysia dengan nilai pelaburan diikrar pada tahun ini mencecah lebih USD100 bilion (USD1=RM4.72) dan merentasi sektor pembuatan, perkhidmatan dan digital. Jumlah itu mungkin lebih rendah memandangkan banyak firma AS bertindak menyalurkan pelaburan mereka menerusi anak syarikat masing-masing di seluruh Asia dan Eropah.

“Pada masa sama, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, manakala negara ini adalah pasaran eksport ke-17 terbesar bagi AS.”

Selain itu, kerjasama pertahanan dan keselamatan turut menjadi tunjang penting dalam hubungan Malaysia-AS lebih meluas.

“Malaysia mengadakan lebih banyak latihan ketenteraan dua hala dan pelbagai hala dengan AS berbanding rakan lain, iaitu masing-masing 11 latihan dua hala dan lima latihan pelbagai hala setiap tahun.

“Ini membantu dari segi membina kapasiti serta kesiapsiagaan pasukan masing-masing. Bagi tempoh 2018 hingga 2022 misalnya, bantuan keselamatan AS melebihi USD220 juta yang menyediakan aspek seperti peralatan, latihan dan sokongan penting lain.”

Kedua-dua negara turut terbabit dalam usaha bersama meningkatkan keselamatan maritim dan memerangi ancaman transnasional seperti jenayah siber, keganasan, ekstremisme serta pengedaran dadah.

Kebimbangan terbabit melangkaui sempadan negara dan resolusinya, kata Anwar, memerlukan usaha kolaboratif yang memanfaatkan kapasiti secara kolektif.

Menyentuh ruang lingkup di luar hubungan keselamatan, beliau berkata, Malaysia memainkan peranan rakan kongsi mantap untuk AS dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, perubahan iklim, kesihatan awam, selain usaha memperkasakan kalangan masyarakat terpinggir.

Bukan setakat itu, ribuan pelajar Malaysia turut mendaftar di universiti AS setiap tahun bagi mendapatkan pendidikan bertaraf dunia sebelum pulang ke tanah air untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Malaysia berminat manfaatkan IPEF

Anwar turut berkongsi penglibatan aktif Malaysia dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) diterajui AS yang memaparkan komitmennya terhadap usaha penyepaduan dan kerjasama ekonomi serantau.

“Sebagai negara yang terletak atau berada pada kedudukan strategik di Asia Tenggara, Malaysia melihat IPEF sebagai platform utama untuk meningkatkan perdagangan, memperkukuh rantaian bekalan, menggalakkan amalan lestari, selain menyokong langkah antirasuah bersama negara peserta lain.”

Bertitik tolak daripada itu, beliau berkata, Malaysia turut berminat memanfaatkan IPEF bukan saja bagi memajukan kepentingan ekonomi sendiri, tetapi turut memberi sumbangan besar kepada pembangunan tonggak utama dalam rangka kerja itu.

Pada masa sama, Malaysia turut menawarkan kapasiti hebat sebagai rakan boleh diyakini dari segi teknologi utama.

Katanya, ini terbukti menerusi keupayaan Malaysia sebagai lokasi penempatan atau tumpuan syarikat multinasional teknologi terkemuka, terutamanya dalam bidang elektronik dan semikonduktor lebih 50 tahun lalu.

“Malaysia berperanan penting dalam industri teknologi global dengan membekalkan 25% daripada komponen semikonduktor yang menjana permintaan teknologi AS.”

Katanya, sewaktu pandemik Covid-19 misalnya, usaha pengeluaran trak pikap F-150 yang juga model ikonik Ford, turut bergantung kepada keputusan Malaysia menyambung semula operasi perindustriannya.

Beliau juga berkongsi fakta lain di mana separuh daripada keseluruhan bahagian sayap komposit pesawat Boeing dan Airbus dibuat di Malaysia.

“Kita juga menjadi pihak penting dalam rantaian bekalan teknologi perubatan dengan hampir 300 syarikat menggaji 70,000 pekerja mahir.”

Selain itu, syarikat gergasi terkemuka seperti Intel, Infineon dan Amazon Web Services membuat pelaburan tambahan berbilion-bilion dalam usaha mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran serba canggih di Malaysia.

Angka pelaburan asing yang diluluskan pada suku pertama 2023 melonjak 67% tahun ke tahun dan mencecah lebih RM17 bilion.

“Malaysia gigih dalam usaha merebut peluang dan pada masa sama menyampaikan hasilnya – cara ini membolehkan Malaysia menjadi bahagian penting dalam rantaian bekalan global membabitkan teknologi kritikal.”

Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments