| KAJIAN: Hajiji menerima Kajian Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035 daripada Pegawai Daerah Tuaran Hadzlan Jablee pada majlis itu. |
KOTA KINABALU: Institusi Kajian Pembangunan Sabah (IDS) sentiasa menjadi entiti rujukan serta panduan utama kerajaan negeri sebagai badan penyelidikan dan pemikir dalam membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha yang dibuat oleh IDS bagi memastikan Sabah benar-benar maju jaya untuk semua rakyat.
Katanya, perjalanan mencapai matlamat itu adalah satu tanggungjawab bersama dan kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada setiap hasil serta dapatan kajian daripada IDS dengan teliti.
Menurutnya, menerusi langkah itu, ia sekali gus mampu memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat di negeri ini.
“Besar harapan saya agar IDS bukan sahaja sebagai badan pemikir untuk pembangunan ekonomi tetapi juga untuk kedua-dua rakyat dan negeri ini menerusi suara penghubung pemimpin dan rakyat demi kepentingan negeri," katanya sempena Majlis Apresiasi dan Malam Gala Ulang Tahun Ke-38 IDS di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau turut berharap kakitangan IDS akan terus menggalas tanggungjawab dengan penuh komited dan tidak mudah patah semangat khususnya ketika melakukan penyelidikan yang memberi manfaat kepada Sabah.
Hajiji berkata, sebagai penyelidik perintis, IDS secara keseluruhannya menggalas harapan dan aspirasi Sabah.
"Dengan usaha ini, kita mampu untuk mencapai tahap pemikir tertinggi dan keyakinan yang diperlukan untuk memenuhi peranan sebagai pelaksana dan pemboleh daya.
"Peranan IDS sebenarnya amat penting dalam usaha kerajaan negeri mahu membawa lebih banyak pembangunan termasuk pelabur ke Sabah.
"Keupayaan IDS untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa, berinovasi secara konsisten dan memperhalusi idea sedia ada, membuktikan legasi yang terpelihara sejak dari hari pertama institusi ini ditubuhkan," jelasnya.
Beliau berkata, legasi berkenaan menyumbang kepada pembentukan landskap Sabah dan membentuk barisan pemimpin yang mempunyai keupayaan yang kompeten.
"Saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan beberapa menteri, wakil rakyat, dan juga penyelidik yang lahir dari IDS. Kesemua mereka mempunyai daya kompetensi yang tinggi hasil daripada pengalaman dan pendedahan semasa berkhidmat di institut ini,” katanya.
Pada masa sama, pihaknya berharap semua warga IDS sentiasa bersedia untuk menjadi generasi pelapis penggubal dasar dan pemimpin demi menangani cabaran masa kini serta masa depan, berpandukan nilai penyelidikan dan pendekatan berasaskan data untuk pembangunan.
"Sejak dari awal saya menggalas mandat sebagai Ketua Menteri, saya melihat sumbangan yang tidak ternilai yang diberikan oleh IDS kepada kerajaan negeri.
"Penyelidikan yang dihasilkan dengan ketelitian intelektual dan analisis secara konsisten memenuhi jangkaan tinggi yang diharapkan daripada sebuah badan pemikir.
"Kesungguhan IDS dalam menghasilkan Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan, perancangan daerah, kajian sempadan dengan Kalimantan, serta libat urus bersama pemegang taruh adalah komitmen yang mendukung aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)," jelasnya.
Menurutnya, usaha itu disokong oleh komitmen IDS untuk meningkatkan kapasiti akar umbi dengan menikmati tahap kerjasama, kestabilan, dan keharmonian yang belum pernah berlaku sebelum ini antara satu sama lain.
"Saya berasa terharu melihat keutamaan IDS untuk memastikan pembangunan yang saksama di seluruh Sabah,” katanya.
Sumber: UtusanBorneo
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.