PETALING JAYA: Bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff akan dipanggil petang ini untuk dirakam keterangan berhubung video tular membabitkannya dengan individu dikenali “Wahab”.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata proses itu dijadualkan pada 2 petang di IPD Kajang akan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Beliau berkata, proses merakam keterangan Penolong Pegawai J-KOm Abdul Wahab Abdul Kadir yang dikatakan individu dikenali “Wahab” dalam video itu pula akan diadakan dalam tempoh terdekat.
“Selain Agus dan Abdul Wahab, terdapat lagi individu-individu yang dijangka akan dipanggil (rakam keterangan) bagi membantu siasatan,” katanya, menurut Berita Harian.
Jumaat lalu, Agus yang meletak jawatan ketua pengarah J-Kom sehari sebelum itu mendakwa video perbualan tular yang dikaitkan dengan dirinya sebagai disuai pinda dan disunting.
Beliau mengkritik penularan video tersebut, mengatakan pihak tertentu menggunakan tuduhan seksual terhadapnya.
“Wahab” yang diperkenalkan sebagai individu lain dipaparkan dalam video tular tersebut dikenal pasti sebagai Abdul Wahab Abdul Kader, yang bekerja di J-Kom sebagai pembantu pegawai komuniti daerah.
Beliau menyokong dakwaan bahawa video tersebut disunting, oleh pihak yang cuba menjatuhkan reputasi Agus, selain mendakwa komplot itu “didalangi oleh individu-individu berjawatan tinggi di dalam J-Kom”.
Sumber: FMT
0 Comments