Keterjaminan Makanan dan Industri Pertanian



 Sabah patut memajukan industri pertanian dengan lebih aggresif dan Effisyen. Jika kita bandingkan geografi dan iklim Sabah dengan beberapa negara pengeksport hasil pertanian besar seperti India, Vietnam, Thailand, dan Indonesia, kita akan dapati perbezaannya tidak terlalu besar. Malah, Sabah seharusnya boleh menumpukan kepada produksi tertentu yang sesuai.

Apa yang membezakan industri pertanian Sabah dari negara-negara lain adalah penggunaan teknologi secara meluas untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam sektor ini.

Penggunaan teknologi dan sistem pertanian canggih serta sistematik telah lama diamalkan di pelbagai tempat di seluruh dunia. Untuk menyebarkannya dan mempromosikannya, kerajaan perlu bersikap terbuka dan melaksanakan sistem dalam industri ini agar semua pihak mempunyai akses dan peluang yang sama, mengelakkan penyalahgunaan monopoli teknologi, sistem, pengeluaran, dan pemasaran yang akhirnya akan mengakibatkan sistem kapitalis dalam konteks sosioekonomi, di mana hanya segelintir yang berjaya dalam industri ini.

Dengan mengoptimumkan penggunaan sains dan teknologi dalam bidang ini, produktiviti, hasil, dan kitaran tanaman serta penuaian boleh ditingkatkan. Tambahan pula, penggunaan sistem dan teknologi yang lebih efisien akan mengurangkan masa tuaian, penjagaan, dan penanaman dengan ketara.


Penggunaan teknologi seperti dron yang diprogramkan untuk aktiviti seperti penanaman dan penjagaan (penggunaan baja/racun) bukan sahaja boleh mempercepatkan proses, tetapi juga mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja serta memudahkan kerja di kawasan yang berbukit. Dengan itu, petani moden dapat memberi tumpuan kepada pengurusan perniagaan berbanding terlalu banyak membuang masa dan tenaga dari segi cara kerja.


Namun, semua ini perlu bermula dengan pendekatan holistik oleh kerajaan, yang merangkumi perancangan dan pelaksanaan sistem terbaik dalam hal akses kepada teknologi dan pasaran, untuk menjadikan golongan petani moden sebagai pemangkin yang kuat kepada ekonomi negara.

Jika semua pemilik tanah pertanian di Sabah mendapat akses yang mudah dan selamat kepada teknologi dan pasaran pertanian, sama ada di dalam atau luar negara, akan lebih banyak generasi muda yang boleh menjadi usahawan berjaya dalam bidang pertanian. Ini akan membantu memajukan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baru untuk masyarakat.

Dengan adanya penghasilan pertanian tempatan yang mencukupi, maka ini juga akan membantu dari segi keterjaminan makanan dalam negara.

Post a Comment

0 Comments