Malahan Abang Johari telah menyatakan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof agar perniagaan karbon itu juga selaras dengan matlamat kerajaan negeri
"Saya mencadangkan karbon ini satu komoditi, yang boleh diniaga mengikut apa yang telah diputuskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sudah tentu jika ia adalah satu komoditi maka ia hendaklah di bawah Kementerian Datuk Seri Fadillah, yang menjaga hal ehwal komiditi.
"Jika ini dipersetujui maka perdagangan karbon boleh diselaraskan dan kita satu-satunya negeri yang ke hadapan sekali mengenai perniagaan karbon.
"Keduanya pendaftaran dari segi parameter perundangan juga perlu ada dalam kita menjual dan membeli karbon ini di mana bagi Sarawak kita memang sudah ada satu tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri 2023 Jabatan Premier Sarawak yang turut dihadiri tiga timbalan beliau, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui hian di kompleks DUN di Kuching hari ini.
Abang Johari berkata, Sarawak telah bertindak berteraskan kepada perniagaan karbon ke arah sifar karbon menerusi protokol antarabangsa iaitu VERA, satu agensi yang diiktraf oleh PBB untuk menguji dan mengesahkan teknologi alam sekitar dalam sektor pertanian.
"Sarawak sudah ke hadapan tetapi saya berharap di peringkat persekutuan mereka perlu mempunyai perundangan atau tatacara yang berteraskan kepada perniagaan antarabangsa mengenai karbon ini.
"Disebabkan itu, saya cadangkan supaya karbon ini yang diiktiraf sebagai komoditi oleh PBB hendaklah diselaraskan oleh Kementerian Komoditi di bawah pimpinan Datuk Seri Fadillah," katanya.
Beliau menegaskan perniagaan karbon adalah antarabangsa maka ia menjadikan negeri sebagai pemain antarabangsa dalam perkara berkenaan.
Maka, ujarnya Malaysia mesti mempunyai kedudukan dalam protokol perniagaan antarabangsa.
Sarawak katanya hanya sebuah negeri bersekutu di Malaysia, maka harus ada penglibatan antara pemain antarabangsa.
"Maknanya komoditi itu harus di bawah Kementerian Komoditi dan saya telah mencadangkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah supaya ia dibahaskan dalam Kabinet (Persekutuan).
"Sekarang ini karbon adalah di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim tetapi sepatutnya dikeluarkan dari kementerian ini kerana ia satu bahan komoditi," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya beliau memaklumkan perkara berkenaan telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri yang diadakan pada hari ini.
Majlis berkenaan dihadiri Menteri Kabinet Negeri lain serta ketua-ketua jabatan di bawah Jabatan Premier Sarawak.
Sumber: UtusanBorneo
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.