PETALING JAYA: Sebuah NGO anti-rasuah menempelak kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah sebuah badan bebas, dengan menyatakan Pakatan Harapan (PH) sering mengkritik dengan agensi itu sebelum ini.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, pemimpin PH sebelum ini sering menuduh SPRM dijadikan alat untuk memaksa mereka menyokong pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.
Ketika itu pemimpin PH berteriak mengenai pendakwaan politik, kata Timbalan Ketua Eksekutif C4 Sudhagaran Stanley.
“Jadi bagaimana perdana menteri kini berkata SPRM adalah sebuah badan bebas ketika rakan-rakannya sebelum ini menuduh agensi itu menjadi alat politik?” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat beliau memutuskan untuk mengekalkan Azam Baki kerana tidak mahu menimbulkan persepsi ketua pesuruhjaya perlu diganti sekiranya perdana menteri bertukar.
Azam dilantik ketika pentadbiran Muhyiddin.
Anwar juga berkata, beliau tidak mahu menukar Azam kerana SPRM adalah sebuah badan bebas.
Bagaimanapun, Sudhagaran berkata, tindakan Anwar tidak menukar Azam adalah silap terutama sekali terlalu banyak kontroversi menyelubungi suruhanjaya itu.
Antara kontroversi adalah berkenaan dengan pemilikan saham Azam.
Sudhagaran berkata, Anwar perlu merehatkan Azam serta merta dan menjalankan siasatan terhadap semua kontroversi berkaitan SPRM dan juga melantik ketua pesuruhjaya yang baharu menerusi proses parlimen.
“Ini boleh dilakukan dengan serta merta. Selepas itu kita boleh melihat kepada pembaharuan jangkamasa panjang seperti meletakkan SPRM di bawah Parlimen, tempoh untuk ketua pesuruhjaya dan perkara lain lagi,” katanya.
Sudhagaran berkata, dengan melaksanakan langkah-langkah yang dicadangkan itu, orang ramai akan kembali yakin dengan SPRM.
Sumber: FMT
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.