ANTARA MyKad milik warga tempatan yang disediakan sindiket bagi membolehkan Pati melepasi pemeriksaan di lapangan terbang.
Kuala Lumpur: Raut wajah dimiliki 100 peratus berbeza berbanding MyKad ditunjukkan. Namun mereka berjaya lolos menaiki pesawat komersil untuk menyusup masuk ke Semenanjung Malaysia beramai-ramai.
Itu antara komplot terancang di pintu salah sebuah lapangan terbang di Sabah bagi membolehkan beribu pendatang asing tanpa izin (Pati) Filipina menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) Sepang sejak lebih lima tahun lalu.
Difahamkan semua pendatang haram itu akan dibekalkan MyKad tulen milik warga tempatan yang disediakan sindiket bagi membolehkan Pati melepasi pemeriksaan di lapangan terbang.
Berdasarkan maklumat diperolehi wartawan Harian Metro, pakatan sulit membabitkan aktiviti penyeludupan manusia itu dipercayai didalangi beberapa sindiket berpangkalan di negeri bawah bayu itu.
"Berdasarkan risikan awal, salah satu sindiket utama itu didalangi dua wanita 'otai' tempatan berusia 40-an dan 50-an. Mereka disyaki memiliki dua kerakyatan berikutan kerap berulang alik ke wilayah di selatan Filipina.
"Risikan mendapati dua beradik wanita ini beroperasi persis tekong darat. Mereka akan menguruskan perjalanan masuk Pati dari Sabah ke Semenanjung Malaysia dengan menaiki pesawat komersial," katanya.
Menurutnya, suspek akan menguruskan pengangkutan dan pembelian tiket penerbangan pesawat menggunakan identiti MyKad tulen milik warga tempatan.
"Sindiket kemudian akan membekalkan MyKad tulen dan 'boarding pass' (pas masuk atas nama pemilik asal Mykad) pesawat kepada kumpulan Pati yang menggunakan khidmat mereka.
"Pati warga Filipina terbabit kemudian akan menyamar sebagai rakyat Malaysia ketika melalui pemeriksaan pihak berkuasa di lapangan terbang di Sabah.
"Di sini timbulnya sesuatu tidak kena apabila Pati ini dengan mudah melepasi pemeriksaan petugas keselamatan di lapangan terbang ketika mahu menaiki pesawat. Agak aneh apabila Pati ini tidak ditahan walaupun wajah mereka langsung tidak sama dengan Mykad diberikan bagi pengesahan boarding pass.
"Berdasarkan risikan lebih lanjut, sindiket dipercayai memberi suapan kepada segelintir petugas keselamatan di lapangan terbang bagi melicinkan operasi," katanya.
Sumber berkata, pihak sindiket biasanya akan diberikan jadual masa perjalanan, kaunter dan laluan tertentu ditetapkan 'kaki' di lapangan terbang bagi memudahkan Pati menaiki pesawat.
"Malah dalam beberapa penemuan risikan dilakukan, wujud kejadian aneh apabila boarding pass milik Pati sudah terlebih dahulu dicop (agensi penguatkuasa) sebelum mereka melepasi gate pemeriksaan penumpang.
"Selain itu, tiada maklumat keluar masuk pemilik MyKad terbabit direkodkan di dalam pangkalan data agensi penguatkuasa kerajaan dipertanggungjawabkan di lapangan terbang.
"Senario pelik ini memungkinkan wujud unsur rasuah membabitkan sindiket dan petugas keselamatan di sebuah lapangan terbang di Sabah.
"Keadaan tambah 'membimbangkan' apabila Pati ini yang mendarat di KLIA2 Sepang, tidak perlu lagi menjalani pemeriksaan identiti sekali lagi," katanya.
Menurutnya, Pati terbabit dengan mudah bolos masuk ke Semenanjung Malaysia dengan pelbagai tujuan tidak diketahui sama ada untuk mencari pekerjaan atau objektif tidak diketahui.
"Setakat ini, sindiket didalangi dua beradik itu dipercayai sudah bergiat aktif sejak tahun 2018 dengan mengaut hasil keuntungan lebih RM1.2 juta.
"Setiap Pati yang menggunakan khidmat mereka hanya dikenakan bayaran sekitar RM2,500 setiap seorang. Jika mengambil kira jumlah wang diperolehi itu, tidak kurang dari 1,000 Pati warga Filipina sudah dibantu sindiket untuk 'terbang' menyusup masuk ke Semenanjung Malaysia.
"Angka itu bagaimanapun hanya membabitkan satu sindiket. Tidak dapat dipastikan jumlah sebenar Pati warga Filipina yang berjaya bolos dan kini berkeliaran di Semenanjung Malaysia," katanya.
Menurutnya, apa yang berlaku ini adalah satu lagi bentuk pengkhianatan besar terhadap negara.
"Mereka menjual kedaulatan tanah air demi wang ringgit. Implikasinya cukup besar membabitkan isu keselamatan negara. Mungkin ada antara Pati itu adalah penjenayah atau pengganas di negara asal.
"Jika kegiatan ini tidak ditangani segera, entah berapa ramai Pati Filipina yang berada di Semenanjung Malaysia. Ini hanya akan memburukkan lagi isu lambakan Pati sedia ada di Malaysia," katanya.
Dr Noor Nirwandy Mat Noordin
Tambah baik sistem aduan terhadap Pati
Limpahan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang memasuki negara ini perlu dianggap satu bentuk ancaman serius terhadap isu keselamatan nasional.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, isu ini yang sudah sekian lama diperdebatkan belum menemui titik penyelesaian jitu.
Menurutnya, konsep dan dasar keselamatan negara harus dinilai semula melalui pembabitan lebih proaktif dikalangan rakyat.
"Tanpa 'campur tangan' rakyat yang menjadi mata dan telinga, isu ini tidak akan selesai apatah lagi jika ramai bersikap 'tidak ambil kisah'.
"Saluran aduan terhadap kehadiran ataupun ancaman Pati seharusnya ditambah baik. Ini termasuk elemen risikan dan tindakan bagi membenteras Pati secara berterusan.
"Selain itu, kerajaan boleh mewujudkan zon kawalan masa di penempatan tumpuan Pati bagi memastikan golongan ini tidak terlalu bebas," katanya.
Menurutnya, kaedah ini memastikan Pati atau warga asing yang memiliki permit bekerja di negara ini dipantau pergerakan melalui kaedah 'pagar moden'.
Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan seramai 15,845 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di semua depot imigresen seluruh negara dengan warga Filipina merekodkan tahanan paling ramai iaitu 5,138 orang atau mewakili 32.4 peratus.
Menurutnya, jumlah itu membabitkan 11,983 lelaki, 2,683 orang wanita, 656 orang kanak-kanak lelaki dan 523 orang kanak-kanak perempuan direkodkan hingga 29 Januari lalu.
Beliau berkata, warga Filipina adalah tahanan paling ramai iaitu 5,138, diikuti warga Myanmar termasuk etnik Rohingya seramai 4,424 (27.9 peratus) dan warga Indonesia seramai 4,097 (25.9 peratus).
Jais Abdul Karim
Pendatang haram mampu bawa anasir pengganas
"Jangan pandang ringan isu kemasukan pendatang tanpa izin (Pati) termasuk warga Filipina. Kita tidak tahu jika ada antara mereka adalah international terrorism (pengganas antarabangsa)," ujar Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim.
Menurutnya, isu penyeludupan manusia mewujudkan ancaman keselamatan yang amat jelas kepada negara.
"Aktiviti rentas sempadan ini akan membuka pintu kepada pelbagai masalah lain membabitkan isu pengedaran najis dadah, penyeludupan senjata api dan juga isu aktiviti pengganas.
"Jumlah pendatang asing termasuk pendatang haram yang terlalu besar akan memberi impak sosial dan ekonomi. Ia turut akan menyulitkan tugas anggota penguatkuasa negara, tambahan pula kecenderungan mereka melakukan jenayah yang cukup tinggi," katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, keamanan negara bakal terjejas dalam jangka masa panjang selain kemungkinan wujud anasir pengganas dibawa oleh pendatang haram ke negara ini.
Menurutnya, masalah penyeludupan warga asing ke negara ini semakin sukar dibendung jika ia turut membabitkan 'kerja orang dalam' di pintu sempadan.
"Tindakan tegas perlu diambil terhadap petugas keselamatan di lapangan terbang supaya mereka bertugas dengan penuh beretika, integriti dan profesional.
"Pihak atasan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu memantau masalah ini dengan lebih teliti dan mencari penyelesaian segera termasuklah memindahkan segera pegawai yang dilihat berisiko tinggi dan tidak dapat dikawal.
"Selain itu, latihan, pendidikan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa selain kesedaran pentingnya integriti diri kepada keselamatan negara perlu kerap dianjurkan setiap jabatan.
"Kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan elaun khas supaya petugas keselamatan ini tidak akan tergoda dengan rasuah ditawarkan. Apa yang nyata kini, gejala rasuah sudah merebak luas daripada 'kepala' hinggalah ke akar umbi.
"Kerjasama antara pelbagai agensi penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah kunci penting yang perlu disegerakan dalam hal membabitkan pengawasan bersama, pertukaran maklumat dan hal kerahsiaan.
"Pegawai di pintu masuk negara perlu diberikan latihan khas berkaitan kesan ketirisan kepada keselamatan negara yang amat serius. Mereka perlu juga dibekalkan dengan teknologi pengesanan terkini dan kemahiran penyiasatan dalam memastikan tugas mereka dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.
Menurutnya, prosedur yang lebih ketat perlu diperkenalkan dalam memastikan masalah ini tidak lagi berulang.
'"Individu atau pegawai lapangan terbang yang bebas keluar masuk kawasan larangan perlu melalui semula pemeriksaan latar belakang bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa manipulasi penjenayah," katanya.
Beliau turut menyeru pihak berkuasa Malaysia menjalinkan hubungan lebih akrab dengan negara tetangga bagi mencari penyelesaian yang lebih tuntas dan membolehkan masalah penyeludupan manusia ini diatasi dengan lebih berkesan.
0 Comments