Tiga rumah rosak dipukul ombak

 



KOTA BELUD: Tiga rumah atas air mengalami kerosakan, manakala 66 lagi berdepan risiko roboh selepas dipukul ombak akibat fenomena air pasang besar di Kampung Buah Pandai, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, ketiga-tiga rumah berkenaan didapati rosak di bahagian lantai dan beranda.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.05 tengah malam.

Katanya, seramai 18 anggota dan pegawai bersama lima buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi pemantauan serta menyelamat.

“Sebaik tiba, tiga buah rumah sudah mengalami kerosakan akibat dipukul ombak, manakala 66 lagi turut terancam.

“Dilaporkan juga kerosakan 10 peratus pada keseluruhan jambatan kampung tersebut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, semua mangsa sudah berpindah di rumah saudara mara manakala sebahgian kecil pula berpindah ke Masjid Kampung Buah Pandai, di sini.

Katanya, setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan keadaan air laut juga semakin surut.

“Pasukan bomba masih menjalankan pemantauan bagi memastikan kawasan kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.18 pagi,” katanya.


Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment

0 Comments