Tak timbul isu ‘crossing the floor’, Armizan bidas Kiandee

 


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali menjelaskan tidak timbul isu “crossing the floor” selepas beliau dan tiga Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lain duduk di blok kerajaan dan tidak menyokong Bersatu.

Katanya, pada PRU15 beliau dan tiga Ahli Parlimen Sabah itu bertanding atas tiket GRS.

“Itu hak Ronald Kiandee untuk mengemukakan pendiriannya,” katanya kepada FMT.

“Saya faham kekecewaan dan kemarahan beliau apabila tidak terpilih sebagai calon GRS pada PRU15… hakikatnya, inilah bezanya status kami dengan beliau dalam pilihan raya,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Kiandee yang juga naib presiden Bersatu berkata, partinya sudah menghantar notis kepada speaker Dewan Rakyat untuk memastikan berlaku kekosongan “luar jangka” membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah yang didakwa ditandingi ahli Bersatu.

Ketua Bersatu Sabah itu berkata, permohonan sudah dibuat kepada speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan terdiri daripada Armizan, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Sementara itu, Armizan yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pengundi Papar memilihnya sebagai Ahli Parlimen mereka.

“(Yang pilih saya) bukan seorang hero Malaya baharu di Sabah. Banyak parti bantu saya dalam siri kempen,” katanya.

“Selain komponen GRS, saya juga didukung melalui muafakat bersama BN, (selain) Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), PAS, Parti Cinta Sabah (PCS), dan NGO.”

Pada 12 Dis, Armizan menjelaskan bahawa penyertaannya dalam GRS adalah menerusi keahlian langsung, berbanding keahlian menerusi parti gabungan, dan beliau bertanding pada PRU15 atas tiket gabungan berkenaan.

“Saya sangat ‘sentimental’ dengan penubuhan gabungan ini, dan saya antara ahli awal GRS (sertai) melalui ‘direct membership’, dan bertanding pada pilihan raya atas tiket GRS,” katanya.

Sumber: FMT


Post a Comment

0 Comments