Sultan Johor berkenan terima menghadap Anwar

 

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Serene.

Kenderaan membawa perdana menteri ke-10 itu tiba di istana berkenaan kira-kira 10.30 pagi.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat tiba di istana tersebut pada 9.34 pagi, diikuti Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim 10 minit kemudian.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Tambun itu disambut Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi setibanya di Senai Business Aviation Terminal pada 9.55 pagi.

Ini merupakan kali kedua Anwar menghadap Sultan Ibrahim dan kali pertama beliau ke negeri ini selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan itu pernah menghadap Sultan Johor tiga hari selepas mengangkat sumpah.

Anwar turut dijadual bertemu masyarakat ketika makan tengah hari di Restoran Murtabak Kampung Melayu Azo 96, Kampung Melayu Majidee, di sini.

Selepas itu, beliau akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Melayu Majidee sebelum kembali ke ibu negara.

Kali terakhir Anwar ke Johor ialah ketika berkempen pada PRU15 awal November lalu.

Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments