SBM teroka pendekatan kotemporari dalam kreativiti, inovasi perniagaan

 


KOTA KINABALU: Seminar Perniagaan dan Pengurusan (SBM) 2022 meneroka pendekatan kontemporari dalam kreativiti dan inovasi perniagaan sebagai penggerak untuk lebih berdaya saing. 

Pengerusi Penganjur SBM 2022 Dr Sharon Toh Pei Sung berkata seminar berjaya dianjurkan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FBEA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dijalankan secara maya bagi membolehkan ianya diakses kolaborator dari Indonesia, serta peserta dari China. 

Tambahnya seminar bertemakan ‘Penciptaan Nilai untuk Kreativiti dan Inovasi’ itu turut dijayakan bersama FBEA, Pusat Komunikasi Korporat (CCC) UMS, Pusat Kokurikulum dan Pengembangan Pelajar (CCSD) UMS, Universitas Muhammadiyah Surakarta Indonesia, dan Universitas Sarjanawiyata Tamansiswa Indonesia.

“Sejak tahun lalu, SBM menjadi platform untuk ahli akademik, pemain industri, dan pelajar pasca siswazah berinteraksi dan berkongsi idea serta pengetahuan dalam bidang berkaitan.

“Tahun ini, SBM 2022 dianjurkan membabitkan sesi penceramah ucaptama, panelis, dan penceramah jemputan dengan sesi serentak pembentangan kertas kerja akademik,” katanya.

Beliau berkata ceramah disampaikan bekas Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd Abdul Kadir Abdullah @ O.K.K. Damsal dan Profesor Madya Dr. Muhammad Sholahuddin dari Universitas Muhammadiyah Surakarta.

Turut diadakan dalam seminar adalah sesi panel jemputan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Group of Companies Datuk Norman Abdul Halim yang berkongsi pengalaman dalam industri hiburan selain memberi nasihat tentang pembabitan ke dalam industri untuk generasi muda, memberikan pandangan tentang era penstriman dan peluang untuk mencipta pengisian di dalam media sosial. 

“Sepanjang perkongsian, sebahagian peserta teruja berikutan nostalgia ahli akademik terhadap muzik KRU sejak 1990-an. 

“Perkongsian juga berkisar bagaimana beliau berjaya mempraktikkan ilmu yang dikumpul bersama naluri semula jadi dan bakat untuk pemasaran dalam membawa nama band ikon pop KRU menjadi jenama hiburan terkemuka,” katanya.

Katanya seorang lagi penceramah jemputan Dr Syamsul Hadi dari Universitas Sarjanawiyata Tamansiswa Indonesia yang juga seorang ahli akademik serta penilai bertauliah Pengurusan Sumber Manusia di Indonesia turut memberi pengetahuan baharu kepada peserta.

Dalam pada itu Dekan FBEA Profesor Madya Dr Mohd. Rahimie Abd Karim berkata organisasi perniagaan yang mempunyai kreativiti dan idea inovatif boleh meningkatkan keupayaan menyelesaikan masalah dan kekal berdaya saing.

Beliau berharap seminar ini berfungsi sebagai platform untuk berkongsi idea inovasi perniagaan dan pengurusan yang boleh membantu menterjemah kedua-dua sumber nyata dan tidak ketara kepada prestasi organisasi yang mampan.

Sementara itu Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Md Mansor, berkata usaha bersama antara FBEA dan universiti rakan kongsi dari Indonesia diharap terus menganjurkan aktiviti akademik, penyelidikan antarabangsa dan kerjasama akademik seperti mobiliti pelajar dan pemadanan geran. 

“Kita harapkan SBM akan diteruskan bersama hubungan positif dan penglibatan dengan pihak berkepentingan utama untuk menggalakkan gabungan, rangkaian dan kerjasama,” katanya.


Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment

0 Comments