Rumah kongsi enam pintu musnah terbakar

 


TAWAU: Kira-kira enam keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran, di kilometer 42, Ladang Cenderamata, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, kebakaran melibatkan satu blok rumah kongsi enam pintu di perumahan pekerja ladang musnah hampir keseluruhannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.10 petang.

Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran tersebut.

“Sebaik tiba, satu blok rumah kongsi sudah 90 peratus terbakar dan pasukan bomba segera melakukan operasi memadam supaya api tidak merebak.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran daripada sumber air dari jentera bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, kepantasan pasukan bomba berjaya menyelamatkan beberapa rumah berhampiran dan api mula terkawal kira-kira jam 3.45 petang.

Jemishin berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai mangsa yang mengalami kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.52 petang.

“Kami akan menjalankan siasatan untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.

Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment

0 Comments