Ops carilamat nelayan hilang ditamatkan

 




LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menamatkan operasi carilamat seorang nelayan dipercayai hilang di perairan Pulau Kuraman, di sini sejak Sabtu lalu.

Operasi Carilamat ditamatkan setelah tiada sebarang petunjuk positif ditemukan sepanjang empat hari usaha pencarian.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, operasi berkenaan ditamatkan selepas menilai keadaan semasa serta hasil perbincangan bersama pasukan penyelamat yang terlibat.

Bagaimanapun, katanya, pemantauan dan pencarian akan terus dilaksanakan semasa rondaan harian serta rondaan di persisiran pantai.

“Maritim Malaysia merakamkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat, agensi-agensi sahabat dan masyarakat setempat yang terlibat dalam operasi tersebut.

“Orang awam terutamanya komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan semasa berada dilaut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, orang ramai juga diminta supaya peka terhadap ramalan kaji cuaca serta amaran-amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum melaksanakan sebarang aktiviti di laut.

“Sebarang kecemasan di laut, boleh terus disalurkan melalui talian 999, hotline Maritim Malaysia 03-89434001 ataupun Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999,” katanya.

Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment

0 Comments