KPDN Labuan dan media saling bekerjasama

 


LABUAN: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan menghargai sumbangan dan peranan media khususnya dalam membantu jabatan itu menyalurkan maklumat penting kepada pengguna.

Pengarahnya Junaidah Arbain berkata, media Labuan telah memainkan peranan penting sebagai platform kepada KPDN bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Kami bersyukur kerana media di Wilayah Persekutuan Labuan sangat membantu dan memberikan kerjasama yang amat baik dalam membuat liputan setiap program yang dianjurkan oleh KPDN dan ini secara langsung membantu dan memudahkan KPDN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media bersama KPDN 2022 yang diadakan di Labuan International Golf Club (LIGC), baru-baru ini.

Junaidah berkata, KPDN Labuan akan terus menjalinkan kerjasama yang lebih erat bagi memastikan pihaknya dapat menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat.

“Melalui hubungan yang baik ini, ia dapat membantu KPDN menyampaikan maklumat yang tepat mengenai keperluan pengguna di wilayah ini," katanya.

Pada majlis itu, pengamal media diraikan dalam majlis makan tengah hari disamping menerima cenderamata sebagai tanda penghargaan KPDN kepada rakan media. 

Sementara itu, Presiden Penggiat Media Labuan, Jainudin Djimin berharap hubungan erat dan baik ini semakin kukuh pada tahun mendatang. 

“Kami ucapkan terima kasih atas penghargaan ini dan berharap akan terus bekerjasama lagi pada tahun hadapan,” katanya.


Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment

0 Comments