KBSS sedia bantu kembangkan bakat pemain tenis kelahiran Tawau

 



TAWAU: Bakat pemain tenis kelahiran Tawau Keagan Keith Jonathan Karunagaren yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa mendapat perhatian kerajaan negeri.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, pihaknya akan memberikan bantuan yang sepatutnya kepada semua atlet yang berjaya mengharumkan nama negara.

Katanya, bakat Keagan perlu diberi perhatian kerana beliau berjaya membuktikan kemampuannya bersaing di peringkat dunia.

“Beliau bukan sahaja jaguh dalam kejohanan di peringkat kebangsaan, tetapi turut memenangi tempat kedua pada kejohanan tenis di Pokhara, Nepal baru-baru ini.

“Justeru, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) akan mengambil inisiatif untuk membantu Keagan termasuk dari segi kewangan bagi mengembangkan bakatnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian ketika ditemui media, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, KBSS komited untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan tenis pada masa akan datang.

“Kita mahukan kejayaan Keagan ini menjadi inspirasi kepada atlet lain dan beliau mampu menjadi contoh kepada belia yang meminati sukan tenis di negeri ini,” katanya.

Suryady turut meminta agar syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dapat membantu Keagan dari segi kewangan bagi kegunaan kos latihan dan kejohanan yang bakal disertai akan datang.

“Saya difahamkan, semua kos sebelum ini ditanggung sepenuhnya oleh keluarga Keagan termasuklah bayaran dua jurulatih daripada luar negara iaitu Korea dan Filipina.

“Tahun hadapan, beliau akan menyertai 15 lagi kejohanan termasuk di peringkat dunia dan sudah pasti kosnya juga semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Keagan berkata pelbagai cabaran yang ditempuhnya memandangkan belaiu juga masih bergelar pelajar.

“Saya terpaksa membahagikan masa kerana terpaksa berlatih sehingga 24 jam seminggu untuk mengekalkan kecergasan diri.

“Selain itu, perlu mengikuti pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk memperbaiki serta meningkatkan prestasi dalam sukan tenis,” katanya.

Katanya, kejayaan yang diperolehi ketika ini adalah atas dorongan dan sokongan kedua ibu bapanya yang banyak mengorbankan wang ringgit.

“Tahun hadapan juga adalah sangat mencabar kerana terpaksa menyertai banyak pertandingan yang penting di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya berharap, kerajaan negeri dan GLC dapat membantu dari segi kewangan supaya semuanya berjalan lancar,” katanya.


Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment

0 Comments