Kaji tambah baik Sosma, bukan hapus, kata bekas KPN

 


KUALA LUMPUR: Bekas ketua polis negara, Musa Hassan mahu kerajaan mengkaji untuk menambah baik peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma sedia ada, bukan untuk menghapuskan akta itu.

“Sosma tak sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kalau ISA, mereka ditahan 60 hari tanpa bicara mahkamah. Berbeza dengan Sosma yang memberi kuasa kepada pihak polis untuk menahan seseorang selama 28 hari bagi menjalankan siasatan.

“Individu tersebut akan dibebaskan kemudian sekiranya tiada pertuduhan mahkamah daripada polis. Jadi, saya menganggap Sosma perlu dikekalkan, ‘review’ (semakan) untuk baiki semula, bukan untuk hapuskan,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir di Dewan Al-Mukhlisin,Alam Damai.

Katanya, polis memerlukan masa melakukan siasatan agar penjenayah dikehendaki diberkas, sedangkan kumpulan jenayah terancang kebiasaannya mempunyai modal kewangan mahupun ramai orang bawahan bagi menjalankan sesuatu tugasan.

“Ada orang kata kita sudah ada prosedur jenayah di mana kita boleh tahan seseorang selama 14 hari.

“Tempoh 14 hari itu memang tak cukup bagi pihak polis melakukan siasatan, maka penjenayah boleh melepaskan diri. Ini menyusahkan kerja siasatan polis,” katanya.

Jumaat lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, berkata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution bersetuju mengkaji dan mengadakan perbincangan mengenai Sosma.

Katanya, keputusan itu diambil selepas satu mesyuarat diadakan dan antara isu dibincangkan adalah mengkaji Sosma dengan lebih lanjut bagi menangani aspek yang menerima kritikan seperti peruntukan menghadkan pemberian jaminan bagi individu ditahan.

Terdahulu, Saifuddin memberi petunjuk bahawa akta itu tidak akan disemak semula dan menyatakan individu ditahan boleh mengambil khidmat peguam sekiranya dihadapkan ke mahkamah.

Susulan itu, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo meminta Saifuddin mempertimbangkan keputusan tersebut kerana ia bertentangan pendirian Pakatan Harapan (PH) selama ini yang mengakui Sosma bersifat menindas.

Seksyen 4(5) Sosma membenarkan polis menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan untuk tempoh tidak melebihi 28 hari bagi siasatan, tanpa perintah mahkamah.

Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments